Pages

Tuesday, July 22, 2014

PELAJAR DIDENDA RM15,000 SEMBUNYI WANG CURI



Kuala Lumpur - Pelajar warga Tanzania hari ini didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membantu menyembunyikan harta curi iaitu wang berjumlah RM12,500, akhir bulan lepas.

Erick Andrew Mbwambo, 19, dituduh menyembunyikan wang tunai RM5,000 yang dicuri dengan memindahkannya ke akaun Public Bank miliknya melalui Hong Leong Bank cawangan Seri Petaling pada pukul 5.36 petang 27 Jun lepas. 

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memindahkan wang tunai RM5,000 yang dicuri ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya pada pukul 5.37 petang di hari dan tempat yang sama.

Tertuduh juga didakwa atas kesalahan sama melibatkan wang tunai RM2,500 dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun Affin Bank miliknya melalui Affin Bank cawangan Seri Petaling pada pukul 10.06 pagi, 30 Jun lepas.

Mbwambo dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Rakan-rakan tertuduh yang hadir di mahkamah membayar denda itu. 

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon satu hukuman yang setimpal sebagai pengajaran namun peguam, Vincent Chew Zi Xian yang mewakili tertuduh memohon supaya hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar di kolej swasta.

"Sebagai pelajar, dia telah dipergunakan oleh kawannya yang meminta untuk menggunakan akaun Erick (Mbwambo) dan telah menjanjikan ganjaran sebanyak RM50 hingga RM100 untuk setiap transaksi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor