Selinsing- Seorang wanita nyaris maut disambar api setelah sempat merangkak keluar daripada keretanya yang terbakar setelah merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 1, Jalan Gula, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa Sabariah Ramli, 32, dalam perjalanan dari Bandar Baharu ke Selinsing sebelum difahamkan gagal mengawal kenderaan setelah tayar hadapan sebelah kiri kereta dipandunya meletup.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik.
Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa meletup dan terbakar hampir keseluruhannya.
“Berdasarkan keterangan mangsa, semasa letupan berlaku, mangsa sempat merangkak keluar dari tingkap kenderaan dan berjaya menjauhkan diri daripada kereta sebelum ia meletup.
“Mujur mangsa sempat menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan, manakala kereta mangsa musnah sepenuhnya,” katanya di sini semalam.
Mat Fauzi berkata, mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut.
Katanya, anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Serai turut berkejar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Badrol, 40, berkata, dia yang dalam perjalanan ke sekolah anaknya terkejut melihat api marak dari sebuah kereta.
Menurutnya, dia segera membantu seorang wanita yang mengalami kecederaan di kepala dan terus menghubungi ambulans.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor