Pages

Friday, July 18, 2014

MH17 - PELAKU MESTI DIBAWA KE MUKA PENGADILAN


Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine

Shah Alam – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan dengan pemimpin Belanda hari ini.

Melalui satu kenyataan, Najib berkata, pihaknya akan turut mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin dunia yang lain bagi membincangkan insiden kemalangan yang menimpa pesawat MH17.

“Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden Obama sebentar tadi dan beliau turut bersetuju bahawa siasatan ke atas tragedi tersebut akan tetap dijalankan walau apa pun yang berlaku.

“Ini adalah hari yang malang buat kita semua dan seperti yang didakwa, merupakan tahun yang penuh dugaan buat kita,” katanya.

Najib dalam pada itu mendesak pihak Ukraine menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat ke atas insiden kemalangan tersebut.

“Kami mahu sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini. Di mana pasukan tersebut mampu menjalankan siasatan tanpa mencemarkan lokasi kemalangan atau memindahkan apa-apa barang dan objek termasuklah kotak hitam," tegasnya.

Ujar Najib lagi, pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan membabitkan 295 penumpang dan anak kapal MH17 ini perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Jika benar pesawat itu telah ditembak jatuh, kita mahu pelakunya dibawa ke muka pengadilan,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam satu kenyataan mengesahkan laluan yang digunakan oleh pesawat Boeing 777-200 MH17 adalah laluan yang selamat.

“Kami menerima maklumat bahawa Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa mendapati pesawat tersebut tidak melintasi atau menyeberangi sepadan dan sekatan yang digariskan.

“Pihak MAS juga mengesahkan yang pesawat tersebut tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum kemalangan tersebut berlaku,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor