Kuala Lumpur - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentang usul mengutuk tindakan menembak pesawat MH17.
Bagaimanapun katanya, pihaknya buat masa ini tidak mahu menuding jari kepada mana-mana berkenaan tindakan tersebut sehingga bukti kukuh diperolehi.
“Walau apapun kita kutuk tindakan tidak berhati perut dan bertamadun dan tidak bertanggung jawab itu,” kata Najib dalam satu ucapan amanat khas MH17.
Perdana Menteri turut meminta semua pihak agar cekalkan semangat serta tabah dalam menempuh dugaan yang disifatkan amat berat ini.
Beliau juga meminta rakyat Malaysia beragama Islam tidak kira latar belakang politik, supaya mengadakan solat hajat, munajat, dan berdoa agar Malaysia sentiasa selamat sejahtera dijauhi daripada bala bencana, musibah dan ancaman yang boleh porak perandakan negara.
Bagi yang bukan beragama Islam, Najib menggalakkan agar mengadakan upacara mengikut kepercayaan masing-masing.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah memutuskan untuk mengisytiharkan supaya bendera dikibar separuh tiang bermula malam ini hingga Isnin.
Katanya perkara itu telah pun disembah maklum kepada Yang DiPertuan Agong.
Sementara itu, Najib juga menuntut supaya pasukan penyelamat dijamin keselamatan mereka sepanjang mengadakan operasi.
Malaysia juga mendesak agar pasukan itu tidak diganggu serta bukti-bukti di tempat kejadian tidak dicemar.
Selain itu, Malaysia juga menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan andainya siasatan membuktikan bahawa MH17 benar-benar ditembak.
Najib memaklumkan bahawa tuntutan-tuntutan tersebut telah pun dinyatakan pada Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon, dan meminta Presiden Russia, Vladimir Putin untuk memberi kerjasama bagi mencapai hasrat itu.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) itu telah ditembak jatuh berhampiran sempadan Rusia, pada Khamis.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi waktu tempatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor