Pages

Sunday, July 13, 2014

MANGSA SERANGAN GAJAH MASIH TRAUMA

Jeli - Kejadian gajah mengamuk sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada 15 Februari lepas memberi kesan buruk terhadap keluarga berkenaan yang kini masih dalam keadaan trauma.

Wan Mahmud Wan Noh, 33, berkata, kejadian itu yang membabitkan kehilangan anak bongsunya Wan Aidit Nasrullah masih segar dalam ingatan apatah lagi menjelang Aidilfitri ini.

"Bapa mana yang tidak ingatkan anak dalam kejadian yang meragut nyawanya.

Terbayang-bayang keletahnya dan hati lebih hiba bila hari raya tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Wan Mahmud dan seorang lagi mangsa kejadian amukan gajah itu, Hashim Yaacob, 67, hari ini masing-masing menerima sumbangan RM2,000 melalui Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas di Kompleks Umno Jeli di sini.

Sumbangan itu diserahkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Jeli yang juga Ketua Umno Bahagian Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid dan Adun Bukit Bunga Datuk Mohd Adhan Kechik.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, Wan Mahmud menaiki motosikal bersama isteri Rezamawati Che Mat Bidin, 37, dan anaknya Wan Aidit Nasrullah dalam perjalanan pulang selepas menoreh getah di Kampung Bukit Perawas di sini sebelum diserang gajah liar.

Wan Aidit Nasrullah yang berada dalam bakul motosikal tercampak dan jatuh selepas dirempuh gajah terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya patah kaki kanan.

Wan Mahmud berkata, beliau dan isterinya masih trauma dan tidak berani turun menoreh untuk beberapa bulan.

"Kini saya semakin berhati-hati. Kalau tidak menoreh apa yang kami mahu makan," katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia tujuh tahun.

Sementara itu bagi Hashim, beliau kini tidak lagi menoreh getah kerana trauma dan kini hanya bergantung kepada tugasnya sebagai bilal.

Hashim cedera parah apabila dipijak pada bahagian belakang badan oleh gajah berkenaan pada 9 pagi sebelum menyerang Wan Mahmud.

"Saya tidak perasan kehadiran gajah itu yang tiba-tiba mengamuk dan memijak belakang badan saya dan sehingga kini kesakitan itu masih terasa," katanya.

Mustapa yang ditemui selepas penyerahan itu berkata pemberian sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan Pusat terhadap mangsa serangan binatang buas.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengingatkan penduduk supaya berhati-hati ketika menjalankan kerja seharian seperti menoreh getah.

"Dahulu beberapa orang sudah mati kerana ancaman harimau tetapi kini diancam gajah pula. Ini kerana habitatnya telah terganggu dan mencari makan sehingga ke kampung-kampung," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor