Pages

Thursday, July 17, 2014

LELAKI TUNJUK PISTOL DEPAN STAF SARAWAK ENERGY



Miri- Akibat mengeluarkan pistol di hadapan tiga staf Sarawak Energy Berhad (SEB) dan seorang anggota polis bantuan bulan lepas, seorang lelaki diberkas polis semalam yang turut merampas sepucuk pistol dan lima butir peluru.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata penangkapan suspek berusia 39 tahun itu susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa selepas kejadian pada 9.40 pagi, 26 Jun lepas di hadapan sebuah rumah di Lorong 3 Krokop.

"Suspek hanya dapat ditahan semalam kerana sebelum ini dia berada di luar negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas insiden itu, Gan berkata sebelum mengeluarkan pistol, suspek dipercayai memarahi dan mempertikai tindakan kakitangan SEB yang membuat pemeriksaan meter elektrik di rumah tersebut. 

Suspek yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudian bertindak mengeluarkan pistol selain mempersoal kehadiran polis bantuan yang dikatakannya bukan polis sebenar kerana tiada gari atau pistol, kata Gan. 

Beliau berkata suspek kemudian dapat ditenangkan oleh kakitangan SEB terbabit yang berkata pemeriksaan meter itu hanya untuk tujuan keselamatan. 

Kes disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Menurut Gan polis juga menyiasat sama ada lelaki itu mempunyai permit senjata api.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor