KUANTAN – Seorang lelaki cacat penglihatan yang sedang mengemis di bazar Ramadan Mahkota Squre di sini, diberikan amaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar tidak mengulangi perbuatannya itu bagi meraih pendapatan.
Lelaki berusia 25 tahun itu sememangnya sudah mendapat bantuan daripada JKM sebanyak RM300 sebulan, bagaimanapun masih lagi mengemis.
Dia yang ditemui pegawai JKM petang semalam sedang bersiap untuk mengaji menggunakan al Quran Braille bagi meraih simpati masyarakat.
Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Kuantan, Hamazah Mohamad berkata, ketika operasi bersepadu ini seorang warga tempatan lelaki (OKU buta) ditemui sedang mengemis di pusat bandar, manakala dua orang lagi peminta sedekah warga asing.
Menurutnya, tindakan memberi amaran kepada pengemis tempatan agar tidak mengulangi perbuatan tersebut manakala bagi pengemis warga asing, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
“Selain Operasi Bersepadu, pihak JKM juga turut melaksanakan Operasi Berkala setiap bulan untuk mengesan pengemis sekitar daerah.
“Selepas memberi amaran dan JKM masih mendapat individu ini terus mengemis, mereka akan dibawa ke mahkamah untuk ambil perintah dan dihantar ke Kem Desa Bina Diri di Mersing serta Jerantut.
“JKM akan melakukan siasatan di mana jika individu ini masih mempunyai keluarga, mereka akan dihantar ke pangkuan keluarga masing-masing. Tetapi jika sebaliknya, perintah mahkamah akan diambil untuk tinggal di rumah perlindungan JKM selama tiga tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Hamazah berkata, orang awan juga boleh memberikan maklumat kepada pihak JKM berhubung dengan isu pengemis ini di Talian Nur 15999 atau isu lain yang berkaitan dengan jabatan tersebut.
Menurutnya, hasil maklumat dan bantuan orang ramai, pelbagai perkara dapat diselesaikan seperti isu pengemis ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor