Kuantan - Seorang pengunjung Bukit Panorama di Sungai Lembing yang mahu melihat matahari terbit di bukit itu terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila dia terjatuh menyebabkan kaki kirinya terseliuh.
Tan, 42, seorang guru dari Raub pergi ke bukit itu bersama suami dan dua anaknya kira-kira jam 6 pagi.
Menurutnya, ketika sampai ke puncak bukit itu, dia tergelincir dan cedera di kaki kiri.
“Pada mulanya, suami dan orang awam cuba membantu dengan memapah saya untuk turun.
“Bagaimanapun, akibat terlalu sakit di pergelangan kaki menyebabkan saya tidak boleh berjalan. Jadi, orang awam menghubungi bomba untuk menurunkan saya dari atas bukit,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat menerima laporan kira-kira jam 9 pagi.
Katanya, empat anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian untuk menurunkan mangsa melalui jalan darat.
“Usaha menurunkan mangsa mengambil masa kira-kira dua jam sebelum mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Lembing,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor