Kuala Lumpur - Jenazah penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang beragama Islam akan disolatkan di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.
Menyatakan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jenazah berkenaan akan dibawa terus ke masjid itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Semua kenderaan jenazah telah disediakan secukupnya dan diselaraskan secara bersama oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Jamil Khir berkata Perbadanan Putrajaya juga bersedia untuk menyediakan tempat pengkebumian di Presint 20 Putrajaya sekiranya ada permintaan.
Mengenai Solat Jenazah Ghaib, Jamil Khir berkata setelah jenazah Muslim selesai dimandi dan dikafankan oleh pasukan petugas Malaysia di Amsterdam, maka kerajaan Malaysia boleh mengisytiharkan Solat Jenazah Ghaib diadakan di Malaysia.
"Pada masa sama, walaupun setelah jenazah sampai di KLIA, tiada tegahan untuk umat Islam mengadakan Solat Jenazah (secara hadir) sekali lagi.
"Bagi umat Islam yang berada di negeri atau tempat berjauhan yang berhasrat untuk mengadakan Solat Jenazah, tetapi tidak berkesempatan untuk hadir bersama, mereka boleh melakukan Solat Jenazah Ghaib di tempat masing-masing," katanya.
Jakim, kata beliau, telah menghantar 10 orang wakil jabatan itu, termasuk dua petugas wanita ke Ukraine yang diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya Abdul Manaf Mat bagi membantu aspek pengurusan jenazah.
Menurut Jamil Khir, pasukan itu akan menguruskan jenazah orang Islam setelah dikenalpasti oleh pakar forensik dari Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagi jenazah yang tidak dapat dikenalpasti akan diuruskan secara keseluruhan mengikut pengurusan jenazah orang Islam dan diniatkan 'in kana Muslim' (sekiranya Muslim) bagi semua proses, katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor