Pages

Friday, July 25, 2014

FAM PATUT CONTOHI JERMAN


Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan memberi keterangan ketika sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (OCM), di sini, hari ini.  - Foto Bernama

Bekas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan program pertukaran latihan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) untuk meningkatkan mutu bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

Velappan, yang merupakan bekas Penolong Setiausaha FAM dari 1963 hingga 1980 , mengakui negara Eropah itu mempunyai struktur latihan yang terbaik di dunia yang membolehkannya muncul sebagai juara Piala Dunia FIFA 2014 yang baru berakhir di Brazil.

Beliau berkata Jerman bijak dalam mengasah bakat pemain mereka bermula dari peringkat tapak menerusi program pembangunan di sekolah, peringkat tiang melalui pembangunan di kelab bola sepak sehingga ke peringkat bumbung dengan pembangunan di peringkat skuad negara.

"Di Malaysia, kita gemar membina bumbung dahulu, sebelum pergi struktur bawah, tapak, yang bukan satu perkara yang betul.

Saya telah bercakap dengan (Presiden FAM), Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah) dan AFC untuk menghantar jurulatih ke Jerman. Bagi saya Jerman mempunyai program latihan (terbaik di dunia)," beliau memberitahu wartawan semasa mengimbau kembali pengalaman Piala Dunia 2014 di pejabatnya di sini hari ini.

Velappan yang pernah bertugas sebagai jurulatih di tiga kelab Eropah semasa zaman kegemilangannya - Eintracht Frankfurt(Jerman), Real Madrid (Sepanyol) dan Arsenal (England) berkata kecuali Jepun, lain-lain negara Asia perlu meningkatkan sistem kejurulatihan mereka untuk menyesuaikan diri dengan corak bola sepak semasa yang memerlukan kepantasan dan teknik bola sepak yang baik.

"Kita tidak mempunyai alasan, kebanyakan pemain adalah profesional dan mereka dibayar gaji yang tinggi untuk bermain bola sepak. Oleh itu tiada tolak ansur dalam soal kecergasan fizikal," katanya sambil menggesa FAM untuk merombak semula kesemua struktur latihannya yang agak ketinggalan.

Dalam nada lain, Velappan meragui Asean sebagai satu kumpulan boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 kerana kekurangan prasarana bola sepak untuk memenuhi keperluan standard yang tinggi oleh FIFA.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor