KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa menambah seramai 330 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 350 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi memperkuatkan keselamatan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, langkah itu merupakan tindakan segera dalam tempoh 48 jam berikutnya bagi meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.
“Tindakan segera yang akan diambil dalam tempoh 48 jam ini turut melibatkan tambahan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta menempatkan aset Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan strategik pantai timur Sabah.
“Ia bagi meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah demi keamanan dan kemakmuran masyarakat khususnya di kawasan `hotspot’ seperti Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Khalid turut memaklumkan penetapan laluan laut dari perairan antarabangsa ke perairan pantai timur Sabah akan diwujudkan bagi memastikan semua pergerakan vesel dari laut adalah mengikut laluan yang ditetapkan.
Menurutnya, ia juga bertujuan mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan laluan laut oleh penjenayah bagi tujuan menceroboh masuk ke kawasan perairan Sabah.
Jelas beliau, penetapan laluan laut itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Perintah berkurung akan dilaksanakan bagi melengkapkan usaha mewujudkan aluan yang telah ditetapkan di perairan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan keselamatan kawasan tersebut,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pihak berkuasa akan menjalankan program kepolisan komuniti dengan masyarakat nelayan bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) dan Peraturan Kawalan Tembakan (ROE) akan diwujudkan bagi tujuan menyelaras dan memudahkan kordinasi antara semua pasukan keselamatan di pantai timur Sabah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor