Pages

Tuesday, July 29, 2014

DIBUANG KELUARGA KERANA PELUK ISLAM


Dibuang keluarga kerana peluk Islam

Serdang - [VIDEO] Hati siapa yang tidak kecewa apabila kehendak diri mendapat tentangan hebat oleh keluarga, hati siapa yang tidak ralat apabila keputusan yang dibuat menyebabkan diri dibuang keluarga.

Demikianlah perasaan yang dialami oleh sesetengah golongan saudara baharu yang ditinggal, dibuang dan diabaikan keluarga kandung apabila buat keputusan untuk memeluk Islam.

Seorang aktivis dan ahli kumpulan nasyid Safiya, Nuraian T Abdullah yang telah 15 tahun menjadikan Islam sebagai agamanya, terpaksa menempuh kenyataan dibuang keluarga kandung sebaik dia memaklumkan telah memeluk Islam.

Bagi wanita yang berasal dari Sabah ini, bukan mudah untuk berhadapan dengan dugaan sebegitu hebat, apatah lagi dengan diri masih baru dalam mengenal Islam.

“Pada mulanya memang ia agak sukar dan sangat mencabar bagi saya, saya dibuang keluarga dan dihalau dari rumah. Kemudian saya berpindah ke Kuala Lumpur, cuba belajar hidup sendiri dan berdikari,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Gentar dengan kehidupan baharunya, Nurain yang juga merupakan bekas penyanyi kelab malam berkata, dia merupakan insan yang cukup bertuah kerana ALLAH membantu mempertemukan dirinya dengan rakan-rakan yang mampu memberikan bimbingan agama dan akidah yang lebih mendalam.

“Alhamdulillah saya ditemukan dengan kawan-kawan yang baik, mereka bawa saya pergi belajar dan mendalami ilmu agama sedikit demi sedikit. Dari situlah bermulanya dakwah saya sebagai seorang umat Islam kepada keluarga saya.

“Cabaran yang paling perit bagi saya ialah raasa kehilangan yang terpaksa dipendam, pada waktu itu saya berasa terpinggir. Tiada siapa yang tampil untuk membantu dan menyokong saya, namun saya telah menemui seorang rakan yang telah membantu saya sehingga kini,” katanya lagi.

Walau terpaksa hidup keseorangan, Nurain menguatkan azam untuk mendekatkan diri kepada keluarga sehari demi sehari selama 10 tahun lamanya.

Walaupun saban hari menempuh kegagalan, keluarga Nurain akhirnya menerima wanita itu semula ke pangkuan keluarganya.

Bahkan dengan sedikit ilmu agama yang dipelajari, Nurain cuba membimbing keluarganya ke jalan Islam dan sehingga kini, Nurain telah berjaya menarik 10 ahli keluarga untuk memeluk Islam.

Berbeza dengan situasi yang menghimpit seorang saudara baru Islam, Yelizaveta yang kini telah memeluk Islam genap dua tahun menjelang Oktober ini.

Dikenali dengan nama Islamnya, Nawar, gadis yang berasal dari Kazakhstan itu memilih Islam sebagai jalan hidupnya kerana baginya, kehidupan sebagai seorang muslimah lebih menenangkan.

Menurut Nawar, pertengkaran mengenai akidah Islam yang diamalkan membuatkan ibunya semakin kecewa terhadapnya.

Pernah terjadi, ibunya bertindak diluar jangkaan dengan memaksanya untuk menanggalkan hijab hanya kerana berang dek ketegasan Nawar yang tidak mahu meninggalkan Islam.

Wanita berusia 27 tahun memilih untuk berhijrah dan tinggal di Malaysia selepas dihalau oleh ibunya yang tidak dapat menerima pengIslamannya.

Nawar yang kini bekerja sebagai seorang jurubahasa di perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Walau terbiar jauh dan hidup tanpa keluarga di perantauan, dia mengakui selesa dan menemui kebebasan untuk menjalani hidup sebagai seorang Muslim di negara ini.

“Saya menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslimah di negara saya, ada sesetengah syarikat tidak menerima pekerja yang memakai hijab. Kami sukar untuk bekerja di syarikat swasta, hanya mampu buka perniagaan kecil-kecilan untuk menyara kehidupan. Malah ada sesetengah syarikat tidak mempunyai surau untuk mengerjakan ibadah,” katanya.

Berbeza pula dengan Malaysia, kemudahan untuk menunaikan solat dan ibadah ada di mana-mana.

“Keluarga saya tidak menganut mana-mana agama, sebab itulah emak tidak dapat menerima kenyataan pengislaman saya. Dia menangis dan bersedih sebaik sahaja dia mendapat tahu saya memeluk Islam. Mereka menentang saya dan agama saya (Islam).

“Mereka menentang semua yang berkaitan dengan keagamaan, mereka percaya bahawa ia tidak penting bagi semua orang untuk menganut mana-mana agama. Bagi mereka, adalah lebih baik jika saya jadi diri sendiri dan letakkan kepercayaan kepada diri sendiri. Sebab itulah emak masih terkejut dengan kenyataan ini,” katanya.

Lain pula dengan kemelut yang melanda bagi Mimi Than Siew Mei yang baharu sahaja memeluk agama Islam April lalu.

Remaja berumur 18 tahun itu mengakui telah mendalami ilmu agama Islam sejak setahun lalu dan tekad memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga.

Menyedari tentangan dari keluarga yang bakal dihadapinya, Mimi mengambil keputusan untuk berterus –terang tentang pengislamannya menerusi video yang dirakamkan oleh Sinar TV.

“Keluarga saya berada di Ipoh, Perak, ayah berbangsa Cina manakala emak pula Orang Asli, mereka tidak tahu bahawa saya sudah memeluk Islam dan kembali ke jalan yang benar, jadi saya ingin mengambil kesempatan di dalam bulan Ramadan ini untuk mengistiharkan pengIslaman saya pada keluarga.

“Sebenarnya saya takut untuk berdepan dan berterus- terang dengan keluarga kerana saya tahu keluarga sememangnya tidak suka dan tidak boleh terima kenyataan ini, jadi ini sajalah cara yang paling sesuai bagi saya untuk memberitahu mereka,” katanya lagi.

Mimi kini tinggal bersama sebuah keluarga mualaf yang banyak membimbing dan membantunya bagi mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor