Pages

Saturday, July 26, 2014

BELAJAR NGAJI DI PERPUSTAKAAN?


Hussamuddin (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Halimah sambil diperhatikan Mastura. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Objektif perpustakaan perlu dipelbagaikan dan ia bukan tempat untuk menelaah buku ilmiah semata. Kini, peranan perpustakaan diperluaskan sebagai tempat belajar al-Quran.

Pengunjung Perpustakaan Awam Raja Tun Uda Shah Alam berpeluang mempelajari al-Quran secara percuma melalui program Rumah Ngaji anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd.

Program disinergikan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bertujuan melahirkan generasi yang mampu membaca dan memahami sepenuhnya isi kandungan kitab suci itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan bekerjasama dengan karangkraf mengajak pengunjung perpustakaan untuk kembali kepada asas agama dan al-Quran melalui Rumah Ngaji.

“50 peratus pengunjung perpustakaan ini adalah daripada golongan muda iaitu pelajar dari sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

“Jadi saya rasa amat sesuai diadakan Rumah Ngaji di sini untuk bentuk insan dan pemimpin yang bukan hanya mengejar ilmu dunia malah juga bekalan akhirat,” katanya selepas majlis Pra Pelancaran Rumah Ngaji, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pedidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Mastura berkata, dengan tertubuhnya Rumah Ngaji akan menjadikan PPAS sebagai pusat mengkaji dan mempelajari al-Quran bermula dari Muqadam.

Bagi tujuan itu katanya, pihak PPAS akan menyediakan tempat merangkumi lapan bilik seminar selain kemudahan asas seperti kerusi dan meja untuk dijadikan kelas belajar mengaji.

“Kita akan sediakan kelas yang kapasiti muatan sehingga 700 orang dalam satu-satu masa dan yang paling penting adalah keselesaan kepada pengunjung.

Katanya, keselesaan yang ditawarkan kepada pengunjung adalah sebagai satu dakwah daripada pihaknya untuk menarik seramai mungkin mereka yang berminat untuk mempelajari al-Quran.

“Tugas kami adalah memberikan kemudahan yang selesa kerana suasana pembelajaran yang selesa adalah sebahagian daripada dakwah.

“Kalau dahulu tempat mengaji biasanya berdindingkan kayu tetapi sekarang kita menyediakan persekitaran yang moden sehinggakan mereka tergerak hati untuk datang belajar di sini. Kita kena sediakan tempat yang paling moden istimewa untuk kenal ALLAH,” katanya.


Al-Quran jadi terapi

Sementara itu Pengarah (WUI), Marhaini Yusoff berkata, WUI dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor komited menganjurkan program Rumah Ngaji.

Menurutnya, pengunjung berpeluang melepaskan tekanan dengan cara yang betul melalui pembacaan al-Quran.

“Sebenarnya ubat paling mujarab ialah membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan kecuali apabila tiba Ramadan.

“Selain mendapat pahala, membaca al-Quran adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup,” katanya.

Menurutnya, pengunjung boleh menjadikan ruang Rumah Ngaji di Perpustakaan tersebut yang dilengkapi dengan ruang yang selesa, damai dan tenang sebagai tempat terapi emosi.

“Karangkraf sendiri menyumbangkan hampir 70 al-Quran dan bilik ini juga dilengkapi al-Quran digital untuk kemudahan pembaca.

“Kita juga akan letak seorang guru untuk ajar mereka mengaji dan kami alu-alukan sukarelawan yang ingin ajar mengaji secara percuma,” katanya.

Menurutnya, selain Rumah Ngaji, WUI dan PPAS juga memperluaskan usaha murni tersebut dengan menyediakan kelas belajar al-Quran secara percuma kepada pengunjung perpustakaan tersebut.

“Kita tengok dalam 60 peratus belum boleh baca al-Quran dengan lancar dan hanya lima peratus memahami dan amalkan isi kandungan al-Quran.

“Jadi kita akan perkenalkan modul iaitu kelas teknik 24 jam pandai baca al-Quran secara percuma,” katanya.

Menurutnya, kelas tersebut akan dipecahkan kepada 12 modul dengan setiap modul pembelajaran diajar dua jam.

“Kepada mereka yang tiada tempat untuk belajar al-Quran, mereka boleh datang ke sini dan ia percuma,” katanya.

Kerjasama tersebut akan terus diperluaskan melibatkan beberapa organisasi lain seperti syarikat korporat, badan kerajaan dan universiti.

“Dalam masa terdekat, pihak WUI sedang dalam proses membuka Rumah Ngaji di dua buah hospital,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor