Pages

Monday, July 14, 2014

75,000 RAKYAT KELANTAN DAPAT ELEKTRIK PERCUMA


Pasir Puteh: Kira-kira 75,000 penduduk miskin di Kelantan mendapat bekalan elektrik secara percuma apabila bayaran bil bulanan mereka yang tidak melebihi RM20 sebulan ditanggung Kerajaan Pusat. 

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Md Yuslan Md Yusoh, berkata mereka adalah sebahagian daripada 425,000 jumlah keseluruhan pengguna di negeri ini. 

"Pengecualian itu dapat meringankan beban mereka yang sebilangan besarnya terdiri daripada petani," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah kepada penduduk miskin, Senah Jusoh, 69, di Kampung Gong Kubur di sini, hari ini. 

Md Yuslan turut memberi jaminan bekalan elektrik mencukupi terutama bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat pada musim perayaan Aidilfitri hujung bulan ini apabila ramai perantau pulang ke negeri ini. 

Mengenai bantuan rumah kepada penduduk miskin, beliau berkata TNB Kelantan memperuntukkan RM500,000 hasil wang zakat untuk membina 10 rumah baharu di seluruh Kelantan yang dijangka siap sebelum Aidilfitri ini. 

Beliau berkata, setiap rumah yang bernilai RM50,000 itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air dijangka dapat memberi keselesaan kepada penghuninya yang sebelum ini tinggal dalam rumah serba kekurangan. 

Md Yuslan berkata, sumbangan pada tahun ini adalah yang terbesar sejak program bantuan rumah itu bermula pada 2008. 
Sementara itu, Senah, seorang peniaga kuih berkata sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi keluarganya apabila dapat mendiami rumah baharu itu. 

"Mak cik tidak menduga mendapat rumah baharu dan bersyukur dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa bersama keluarga iaitu suami Mat Arif Abdullah, 81, dua orang anak dan seorang cucu yang selama ini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah usang yang atapnya bocor di sana sini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor