Seremban: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menyita lebih 15,000 liter minyak diesel bernilai RM134,564 dalam Ops Titik di tiga stesen minyak di bandar ini, awal pagi tadi.
Pengarahnya Mohd Salleh Ma'amor berkata, dalam operasi bermula jam 9 malam hingga 4 pagi pihaknya turut menyita tiga lori yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan bahan api itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lori berkenaan dilengkapi tangki tambahan yang diubahsuai dan disembunyikan di dalam kenderaan itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, serbuan pertama di stesen minyak di Seremban2, Garden Avenue,dekat sini, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM 21,656, diikuti di stesen minyak di Taman Bukit Emas (RM62,908) dan di Senawang (RM50,000).
ANTARA lori yang disita dalam operasi.
Mohd Salleh berkata, ketika serbuan terakhir itu, pemandu lori terbabit yang terkejut melihat kemunculan anggota penguat kuasa bertindak mencampakkan dua hos pam dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Beliau berkata, lelaki berusia 20-an itu didapati membayar RM800 untuk kedua-dua pam namun tidak sempat mengepam minyak diesel.
Menurut beliau kes diasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukan denda maksimum RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat perbadanan.
"Siasatan ke atas pihak stesen minyak juga akan dilakukan sama ada wujud unsur subahat dalam perkara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor