Gombak: “Jangan sampai kampung kami tenggelam baru kerajaan negeri mahu ambil tindakan,” kata wakil penduduk Kampung Sungai Salak, Othman Ahmad, 54, ketika menyertai bantahan penduduk mengenai ancaman banjir lumpur di kampung itu, semalam.
Penduduk mendakwa, projek pembinaan di atas bukit di kampung berkenaan menjadi punca utama banjir lumpur di kawasan itu sejak dua tahun lalu.
“Pada awalnya, pemaju ingin menutup sungai bagi memudahkan lori dan trak mereka keluar masuk ke tapak pembangunan.
“Kini sudahlah sungai menjadi mangsa projek pembinaan, kami pula terpaksa hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat kerana pasti rumah kami dipenuhi lumpur yang sukar dibersihkan,” katanya.
Kira-kira 70 penduduk bersepakat mengadakan bantahan secara aman anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Gombak Utara dan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian harta benda berpunca daripada banjir lumpur setiap kali hujan lebat.
Othman yang menetap di kampung itu sejak 34 tahun lalu kecewa apabila suasana tenang di kawasan kediamannya dimusnahkan sekelip mata oleh pemaju yang menjalankan projek pembinaan.
“Penduduk tidak tahu apa yang diusahakan di atas bukit itu sampai habis semua pokok dan bukit ditarah untuk membawa naik simen dan sebagainya ke atas.
“Sudahlah tiada penjelasan daripada pemaju, kini kami pula terpaksa bergadai nyawa setiap hari dengan lori simen yang keluar masuk ke kawasan kampung,” katanya.
Kata Othman, dia dan penduduk lain sudah letih menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai masalah dihadapi, namun tiada tindakan penyelesaian dilakukan.
“Jika benar kerajaan negeri mengambil berat masalah penduduknya, mengapa sehingga sekarang tiada seorang pun tampil membela nasib kami? “Tolong kasihanilah kami dan hentikan segala projek pembinaan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya merampas dua lot tanah di kawasan itu membabitkan keluasan 12 hektar dan mengeluarkan arahan supaya pemilik tanah meninggalkan kawasan itu serta-merta.
“Tanah itu berstatus pertanian dan belum ditukarkan kepada kediaman yang mungkin disebabkan pemilik tanah enggan membayar cukai lebih tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor