Pages

Monday, June 9, 2014

NOMAD DALAM LADANG SAWIT

PONTIAN - Seramai 12 penagih yang dalam keadaan khayal berjaya diberkas dalam Ops Tapis Khas Bersepadu di ladang kelapa sawit sekitar Pengkalan Raja, Pekan Nenas, 29 September lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zahaliman Jamin berkata, semua penagih berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun itu menjadikan kawasan ladang kelapa sawit yang agak terpencil sebagai ‘port’ mereka.

Menurutnya, modus operandi penagih di ladang kelapa sawit lebih kepada kumpulan kecil yang berpindah randah.

“Mereka tidak akan kekal di satu kawasan ladang sahaja, selesai menghisap dadah, mereka berpindah ke kawasan lain bagi mengelak daripada dikesan pemilik ladang.

“Cuti hari minggu di mana kerja-kerja ladang tidak dijalankan memudahkan kumpulan penagih ini berkumpul di kawasan ladang,” katanya semalam. 

Jelasnya, intipan selama dua hari dijalankan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan Balai Polis Pekan Nenas di kawasan ladang tersebut bagi mengesan kumpulan berkenaan.

“Hasil risikan anggota dan maklumat awam, lokasi kumpulan penagih dadah tersebut dikenal pasti dan serbuan dilakukan membabitkan 10 anggota.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, 10 daripada mereka didapati positif dadah.

"Kebanyakan yang ditahan merupakan penduduk luar dan tempatan yang menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sekitar Pekan Nenas sebagai ‘port’ mereka,” katanya.

Zahaliman berkata, polis akan meneruskan Ops Tapis bagi membanteras kegiatan penagihan dan sindiket pengedaran dadah di kawasan ini.

"Penduduk kampung dan pemilik ladang kelapa sawit diminta memberi maklumat jika mendapati berlaku aktiviti mencurigakan,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor