PAHANG melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Kemenangan ke-10 yang dilakar juara Piala FA 2014 itu membolehkan mereka memintas kedudukan Terengganu di tangga ketiga dengan kutipan 33 mata, iaitu lima mata di bekalang pendahuli liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan turun dua anak tangga ke kedudukan ketujuh liga dengan kutipan 28 mata daripada 19 perlawanan.
Penyerang import dari Argentina, Matias Conti muncul wira skuad 'Tok Gajah' dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-63 selepas menyudahkan tandukan pemain sayap, R. Gopinathan.
Sebelum bermulanya perlawanan itu, Pahang yang berjaya merebut tiga piala di bawah kendalian tiga jurulatih berbeza iaitu Piala Malaysia (Dollah Salleh), Piala Sumbangsih (Ronald Smith) dan Piala FA (Zainal Abidin Hassan) telah dibawa berarak mengelilingi stadium sambil disaksikan kira-kira 20,000 penyokong.
Wakil kelab, Sime Darby FC pula naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam liga selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Empat gol skuad kendalian Ismail Zakaria itu dijaring oleh Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-42 dan 54' serta Nazrul Kamaruzaman (77') dan Shafiq Jamal pada minit ke-86.
Wakil Singapura, Lions XII dan Sarawak terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Dalam pada itu, wakil kelab Terengganu, T-Team keluar daripada zon penyingkiran susulan kemenangan 2-0 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Dua gol skuad 'The Titans' disumbang oleh penyerang import dari Indonesia, Patrich Wanggai pada minit ke-45 dan Mohd Nizad Ayub (85').
BERIKUT keputusan perlawanan bola sepak Liga Super malam tadi:
Lions XII 0 Sarawak 0
Sime Darby FC 4 Perak 0
Pahang 1 Kelantan 0
T-Team 2 PKNS FC 0
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor