Pages

Tuesday, June 17, 2014

ISTANA ABU BAKAR PEKAN ADAKAN ISTANA TERBUKA

Kuantan - Buat julung kalinya, Istana Abu Bakar di Pekan mengadakan program Istana Terbuka selama tiga hari bermula Khamis ini sempena memuliakan sambutan 40 tahun Pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Jabatan Penerangan Pahang Mohd Sabri Abdullah berkata, program itu akan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pameran daripada sembilan agensi kerajaan dan hidangan juadah istimewa daripada 11 buah daerah di negeri ini.

"Penganjuran Istana Terbuka berkenaan bagi memberi peluang kepada rakyat jelata untuk merasai suasana berada di dalam istana selain berpeluang mengambil gambar di dalam Balairung Seri yang menjadi tempat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran negeri Pahang.

"Lebih istimewa Sultan Ahmad Shah turut berkenan untuk berangkat pada hari terakhir untuk bersama-sama menjayakan program tersebut," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, pada hari berkenaan baginda akan berangkat dengan menaiki Kereta Kuda Diraja ke dalam Istana yang didahului pasukan pancaragam Methodist GirlsSchool dan Polis Diraja Malaysia serta diiringi 84 buah motosikal berkuasa besar.

Beliau berkata sebaik tiba di pintu gerbang istana, Sultan Ahmad Shah akan menaiki tandu yang dipikul oleh 80 pegawai Jabatan Penjara sebelum berangkat ke Panca Persada setinggi sembilan tingkat dengan 'scissor lift'.

Turut dijadual berangkat, kata Mohd Sabri ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tengku Muda Tengku Abdul Rahman dan Cik Puan Muda Pahang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri juga dijangka hadir memeriahkan sambutan berkenaan, katanya.

Beliau berkata majlis akan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Datuk Yusni Hamid dan Datuk Jamal Abdillah.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai yang ingin memasuki istana pada hari terbuka berkenaan perlu berpakaian sopan dan bersesuaian.

Program selama tiga hari itu, katanya dijangka akan menarik lebih 60,000 pengunjung untuk merasai pengalaman berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor