Johor Bahru - Proses pemindahan 1,542 jirat Cina di Pengerang bagi memberi laluan kepada pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dijangka selesai Ogos ini.
Program pemindahan kubur itu dalam kawasan yang terlibat dalam pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) merupakan langkah pertama bagi pembangunan industri minyak dan gas di Pengerang.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC), Mohd Yazid Ja’afar berkata, terdapat lima tanah perkuburan bukan Islam sedia ada perlu dipindahkan.
Menurutnya, sebanyak 39 jirat Cina di Kampung Jawa dan Sungai Kapal telah berjaya dipindahkan ke tapak perkuburan baru di Bukit Gelugur, sehingga kelmarin.
“Kita menjangkakan menjelang 31 Ogos ini, proses pemindahan kubur cina ini selesai mengikut adat, budaya dan kepercayaan kaum itu,” katanya pada sesi taklimat media berhubung perkembangan projek PIPC, semalam.
Katanya lagi, pihaknya juga menetapkan 9 Mei depan bagi memindahkan kubur-kubur yang tidak berwaris.
Jelasnya, PIPC yang melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 8,000 hektar dengan potensi pelaburan dijangka mencecah lebih RM170 bilion melibatkan perpindahan 879 penduduk secara berperingkat, selain dua sekolah termasuk tanah perkuburan yang mana tanah perkuburan Islam.
“Proses pemindahan 1,526 kubur Islam telah selesai dipindahkan pada 19 Jun tahun lalu di mana 535 kubur berwaris dan selebihnya tanpa waris |yang telah dimulakan berperingkat sejak 21 Disember di Kampung Punggai, Pengerang.
“Proses pemindahan itu tidak melibatkan tuntutan pampasan dan kerja pemindahan tersebut dibiayai kerajaan negeri,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor