Georgetown - Seorang lelaki yang ditahan reman di Penjara Pulau Pinang mati ketika dalam perjalanan ke hospital di sini semalam, kata polis.
Tahanan berusia 41 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik kuarantin penjara itu pada pukul 12.55 tengah hari semalam oleh warden penjara yang mengawal bilik itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.
"Lelaki terbabit yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans dan dia disahkan mati ketika dalam perjalanan ke hospital oleh doktor bertugas di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu ditahan reman di penjara itu sejak 4 April lepas bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah.
Mazlan berkata setakat ini punca kematian belum diketahui dan mayat tahanan itu akan dibedah siasat hari ini.
"Tiada kecederaan atau kesan lebam ditemui pada badan lelaki itu. Kami tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor