Pages

Friday, April 18, 2014

PADAH ROGOL GADIS BAWAH UMUR




Kuantan – Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam mendapati seorang peniaga makanan di ibu negara, Muhammad Shafiq Basiar, 21, bersalah kerana merogol seorang gadis di bawah umur, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin telah memerintahkan tertuduh menerima hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam iaitu kira-kira tiga bulan dan sekiranya tidak mematuhinya tindakan susulan akan dikenakan memandangkan ketika kejadian tertuduh masih muda serta tidak mengikut akal fikiran waras kerana masih berusia 15 tahun.

Kemesraan yang terjalin semenjak di bangku sekolah rendah, akhirnya telah memakan diri tertuduh apabila melakukan perkara tersebut di dalam bilik tidur rumah mangsa di Jalan Pahlawan, Kota Perdana, Paloh Hinai, Pekan pada 15 Disember 2008 lebih kurang jam 12.30 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian yang pertama iaitu pada 15 Disember 2008 berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah, namun seterusnya kejadian disedari penduduk setempat yang menangkap tertuduh pada 10 Januari 2009 lebih kurang jam 5 petang kerana berkhalwat bersama mangsa yang pada ketika itu berumur 15 tahun 7 bulan.

Susulan kejadian tersebut mangsa dibawa ke Hospital Pekan, seterusnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 13 Januari 2009 untuk pemeriksaan fizikal dan pihak doktor mendapati ada kesan yang menunjukkan mangsa dirogol.

Namun begitu, sebelum hukuman dijatuhkan hakim sempat mengingatkan sekali gus menasihatkan tertuduh bahawa kesalahan yang dilakukan bukan sahaja salah di sisi udang-undang malah paling penting agama dan juga moral.

Menurutnya, kejadian seumpama ini tidak perlu diulangi lagi dan tertuduh harus menjadi seorang lelaki baik memandangkan mempunyai masa depan yang masih panjang serta suatu hari nanti pasti menjadi seorang ayah dan datuk kepada anak atau cucu perempuan.

Dengan itu juga, tertuduh telah mula insaf dan bertaubat serta memohon agar hukumannya diringankan kerana terlalu menyesali kesilapan lampau yang dilakukannya.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Saifuldin Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor