Pages

Tuesday, April 1, 2014

KUASAI DAN DOMINASIKAN MEDIA SIBER


RAUB - Pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat perlu bergerak secara bersepadu bagi menangkis serangan berterusan pembangkang yang ternyata menguji kredibiliti kerajaan dan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dakyah itu jika tidak ditangani dengan berkesan akan membentuk persepsi negatif kepada parti sekali gus meracuni pemikiran rakyat khususnya generasi muda.

"Selain itu, pemimpin UMNO juga perlu menonjolkan watak sebenar yang mesra rakyat, pemurah dan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat melibatkan pelbagai perkara.

"Pendekatan sebegini oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya sangat dibimbangi pihak pembangkang kerana mereka lebih banyak beretorik dalam membentuk persepsi negatif,’’ katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan dengan pemimpin UMNO Bahagian Raub di Bangunan UMNO Raub di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Raub merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Tegasnya, sejak dua pilihan raya umum lalu pembangkang telah melakukan pelbagai serangan kepada UMNO dan BN walaupun bertentangan dengan fakta sebenar.

"Justeru, ahli UMNO perlu menguasai dan mendominasi laman siber bagi menyebarkan maklumat yang betul kepada rakyat di samping menjawab fitnah pembangkang," katanya.

Di samping itu, ujarnya, strategi lain berupa pendekatan mesra dan prihatin terhadap masalah rakyat di peringkat akar umbi adalah nadi kepada jaminan sokongan berterusan terhadap kerajaan.

Tambah beliau, UMNO berkeupayaan untuk mematahkan serangan lawan yang ghairah memburukkan kerajaan jika ahli yang ramai di bahagian serta cawangan bergerak dalam satu pasukan.

"Menguasai sepenuhnya teknologi maklumat dan media sosial juga adalah satu keperluan kerana bahan yang disebarkan melalui laman maya mempengaruhi pola politik negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor