Kuantan - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang menyambut baik program Selawat Perdana Malam Cinta ALLAH, Rasul yang diadakan di peringkat kebangsaan mahu pun negeri dan menyeru agar diperbanyakkan aktiviti sedemikian hingga ke peringkat daerah.
Yang Dipertua Perkasa Negeri Pahang, Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap berkata, dengan adanya program berkenaan bukan sahaja dapat memberi ruang kepada masyarakat Islam untuk mengingati ALLAH SWT sekali gus menghindarkan diri daripada unsur hiburan yang jauh menyimpang.
“Jika hendak dibandingkan dengan konsert-konsert hiburan yang tidak berfaedah, dengan kendalian selawat perdana lebih menunjukkan cara sebenar hiburan yang boleh diguna pakai masyarakat beragama Islam.
“Dalam kita berhadapan dengan pelbagai situasi tegang sejak kebelakangan ini, masyarakat Islam dan orang Melayu terutamanya harus menjauhi hiburan yang jauh menyimpang daripada amalan kehidupan kita yang biasa.
“Justeru agensi terbabit perlu lebih peka dan sensitif kepada keadaan semasa agar lebih berusaha untuk mengembangkan program keagamaan seumpama ini daripada masa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, perbuatan masyarakat sekarang terutama generasi muda lebih menjurus meminati unsur-unsur hiburan yang boleh merosakkan akidahr seperti mana yang berlaku di Future Music Festival Asia 2014, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Kebanyakan yang membanjiri pesta tersebut adalah remaja Melayu, di sini mereka tanpa segan silu mendedahkan aurat, pengambilan dadah secara berleluasa hinggakan lari daripada minda dan roh Islam itu sendiri.
“Perkara seumpama ini sudah berlaku dan perlu diambil iktibar serta ditangani segera agar tidak menjadi lebih rumit.
“Selawat Perdana merupakan satu cara dan pendekatan untuk memulihkan kembali jiwa dan akidah, Perkasa begitu berharap dengan cara ini bukan sahaja berguna kepada generasi muda ini malah boleh membawa kebaikan kepada seluruh masyarakat Islam amnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor