Pages

Saturday, April 12, 2014

DUA WARGA EMAS BERBASIKAL KE MEKAH



Pengkalan Hulu - Selepas bersara daripada perkhidmatan, dua warga emas berhasrat memenuhi impian mereka untuk berbasikal ke Mekah.

Nekad mencapai impian itu, bekas anggota komando Unit Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia Abd Karim Salleh, 64, dan pesara guru, Ramli Yusop, 63, memulakan kayuhan mereka dari Semenyih, Selangor ke Pengkalan Hulu, Sabtu lepas sebelum meninggalkan Malaysia melalui Betong, Thailand semalam.

Hasrat berbasikal ke Mekah dirancang sejak setahun lalu dan mereka yakin dapat sampai ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

Selain ke Mekah, kedua-dua individu itu juga berhasrat ke Madinah serta menziarahi masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Perjalanan kedua-dua mereka yang berasal dari Selangor itu akan melalui India, Iran, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, Jordan, Palestin, Iraq dan Turki.

Menurut Ramli, perjalanan ke Mekah dijangka mengambil masa lebih tiga bulan.

``Saya akan terus melakukan kayuhan selepas pulang dari Mekah bagi membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu melakukan apa yang dilakukan mereka dari negara lain,'' katanya ketika ditemui pemberita sebelum memulakan kayuhan meninggalkan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Abd. Karim berkata, projek kayuhan basikal itu mendapat sokongan dan bantuan Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Veteran Komando Malaysia serta menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.

``Kami hargai dan sanjung tinggi bantuan dan sumbangan semua pihak hingga misi kayuhan ini berhasil,'' katanya.

Kedua-duanya yang kelihatan bersemangat berharap hasrat mereka untuk tiba dengan selamat ke destinasi impian dengan hanya berbasikal tercapai.

1 comment:

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor