Pages

Friday, April 25, 2014

CIKGU BAGI RM10 SETIAP HARI




Shah Alam - Seorang remaja dipercayai pelajar Pusat Tahfiz Amal (PTA), Jalan Yan-Kuala Kedah mendakwa diberikan RM10 setiap hari sebagai kos sara hidup sekiranya keluar menjalankan jualan amal mereka.

Pelajar berusia 15 tahun itu berkata, wang berkenaan akan digunakan sebagai perbelanjaan makanan dan minum seharian ketika mereka menjalankan aktiviti itu di sekitar ibu kota selama seminggu.

"Kami juga akan diberikan komisyen dengan jualan yang diperoleh, selebihnya wang berkenaan diberikan kepada ustaz yang membawa kami.

"Ustaz kata, kalau nak makan boleh guna duit jualan, tetapi kami kena maklumkan berapa yang kami gunakan," katanya kepada Sinar Harian.

Kegiatan itu terbongkar selepas mereka terserempak dengan wartawan Sinar Harian yang kebetulan berada di sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Pelajar berusia sekitar belasan tahun itu memaklumkan bahawa mereka hanya melakukan jualan amal selepas sesi persekolahan iaitu pada sebelah petang di kawasan sekitar Damansara.

Pada mulanya dia memperkenalkan diri sebagai pelajar PTA sebelum menawarkan produk jualan sambil menunjukkan surat kebenaran yang ditandatangan Pengetua PTA, Muslim Ab Karim.

Beliau berkata, mereka melakukan jualan amal di situ sebagai pelengkap kepada program praktikal perniagaan jualan amal kelab usahawan muda PTA.

“Sekolah kami free (percuma), tak ada apa-apa bayaran. Kalau kami buat jualan amal, duit nie nanti boleh juga bantu sekolah berkaitan kos pelajaran dan makanan.

“Sekolah tak paksa kami buat jualan, cuma kami ikhlas nak bantu dan keluarga kami juga tahu kegiatan ini. Lagipun duduk di sekolah saja bosan. Bila keluar jual barang, kami boleh jalan-jalan,” katanya.

Menurutnya, majoriti pelajar di PTA adalah anak yatim yang datang dari pelbagai negeri.

“Di sekolah kami memang ramai anak yatim. Kesian juga saya melihat mereka sebab ada kawan-kawan yang tak balik rumah setiap kali musim raya,” katanya.

Beliau yang mendakwa berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air turut memaklumkan bahawa mereka dijaga dengan baik oleh Muslim sepanjang berada di pusat itu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor