Kuala Lumpur - Semasa negara masih diselubungi kejutan kehilangan pesawatMalaysia Airlines MH370 pada 8 Mac, negara dikejutkan sekali lagi pada 15 Mac apabila enam belia mati hampir serentak di sebuah konsert kerana mengambil dadah secara berlebihan.
Dalam kejadian semasa konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil, tiga daripada mangsa adalah wanita, kesemua mereka berumur 21 hingga 27 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah ecstacy jenis terbaru dalam pasaran yang kemungkinan sedang diuji sindiket dadah.
Hasil siasatan, kesemua mereka diuji positif bagi dadah perangsang jenis amphetamine (ATS), katanya memetik laporan berita Bernama pada Isnin, 17 Mac.
Ekoran insiden itu konsert pada hari terakhir iaitu pada Ahad 16 Mac dibatalkan.
Bagi ahli keluarga menganggap mereka yang menjadi mangsa sebagai anak yang baik dan tidak pernah menunjukkan kecenderungan kepada aktiviti kurang bermoral apatah lagi melibatkan dadah.
Ini menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang berlaku dalam konsert sedemikian dan bagaimana ecstacy diperoleh dengan sebegitu mudah?
'Rave Party' bukan benda baharu
Seorang eksekutif syarikat swasta yang dahulunya kerap menghadiri konsert bertemakan 'rave party' mirip FMFA menceritakan pengalaman beliau kepada Bernama.
Hanya ingin dikenali sebagai Nina, 33, beliau mula berjinak dengan 'rave party' ketika menuntut di universiti sekitar lewat 1990-an.
Menurut Nina dadah tidak diberi percuma oleh penganjur sebaliknya dijual oleh pihak tertentu dalam bentuk pil dengan harga RM60 hingga RM100 sebiji.
Mereka yang hadir ke konsert seumpama bukan datang untuk berkhayal dengan dadah semata-mata, sebaliknya lebih untuk bergembira bersama rakan dan menikmati muzik yang disajikan.
Antara pemuzik yang sinonim dengan konsert sebegini adalah dua orang DJ dari Belanda iaitu Armin van Buuren dan Tiesto yang membawa muzik 'trance' (keadaan bersawai) atau 'dance music' (tarian).
Nina berkata pengunjung parti memilih dadah berbanding arak untuk berkhayal atau berada dalam keadaan 'high' kerana kesan sampingannya yang lebih ringan.
"Alkohol akan menyebabkan anda berasa loya, pening, kepala berat pada keesokannya. Pil pula memberi kesan yang lebih bersih. Ringan tetapi tetap dengan rasa 'high', sama seperti alkohol.
"Mereka lazimnya mempromosi dadah jenis baru di 'rave concerts'. Dadah parti ini memberi tenaga untuk mengiringi muzik ghairah," jelas Nina kepada Bernama.
Bagaimana 'overdose' boleh berlaku
Nina turut menceritakan bagaimana kejadian terlebih dos atau dalam istilah ringkasnya 'OD' (overdose) boleh terjadi terutama kepada orang baru atau 'newbies'.
"Saya pernah mencuba ecstacy sebelum ini. Setengah pil sudah cukup untuk menyebabkan rasa ghairah ataupun 'high'. Jadi dalam kebanyakan kes apabila rasa ghairah itu mula berkurang, separuh lagi pil ditambah dan terus tambah sehingga minda tidak lagi dapat membuat keputusan waras untuk tambah banyak mana lagi.
"Itulah cara seseorang itu terlebih dos. Ia tindakan sendiri tetapi dalam keadaan minda yang tidak keruan," cerita Nina.
Nina yang baru mendirikan rumah tangga tahun ini, mengakui sudah tidak lagi menghadiri parti seumpama itu kerana sudah bosan dengan kegiatan sebegitu.
"Sebenarnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghindari parti-parti seumpana ini dan mengambil dadah, lagipun saya bukan orang yang mudah bersosial, Jadi saya rasa ia terhenti dengan sendiri dengan peningkatan usia dan tanggungjawab kerja, saya sendiri tidak banyak melakukan usaha untuk menghentikan tabiat itu.
"Saya tahu beberapa rakan saya yang telah berkeluarga masih meneruskan dengan konsert seperti ini, tetapi mereka berbuat demikian lebih kerana DJ dan muzik, bukan untuk berghairah dan dadah," katanya.
Penganjur konsert tahu
Sementara itu, seorang bekas pekerja syarikat yang biasa menganjurkan konsert 'trance' (konsert bersawai) memberitahu Bernama adalah mustahil penganjur tidak mengetahui kewujudan pihak yang menjual ecstacy kepada pengunjung.
Beliau yang enggan dikenali berkata penganjur mungkin tidak berbuat apa-apa kerana sukar untuk mengawal dan menyaring ribuan orang yang datang ke konsert, apatah lagi apabila dadah adalah sebahagian daripada daya tarikan untuk mengumpan pengunjung khususnya remaja.
"Sebenarnya sukar untuk mengawal ribuan orang yang datang. Meskipun sistem keselamatan diketatkan, akan ada juga yang terlepas. Penganjur lebih senang meletakkan tanggungjawab kepada pengunjung dalam memilih sama ada nak mengambil dadah atau tidak.
"Mereka yang ke 'rave party' pun selalunya kumpulan sama yang sudah mengetahui keadaan sebenar konsert. Dahulu berita 'rave party' ini tersebar dari mulut ke mulut. Sekarang sudah ada telefon bimbit, SMS, facebook, instagram, jadi majlis itu itu lebih ramai yang tahu," katanya.
Lagi bagi pengunjung 'veteran', mereka tidak akan mengambil dadah jenis baru yang ditawarkan kerana menyedari akan bahaya kesan sampingan yang tidak diketahui.
"Mereka juga sudah tahu kena minum banyak air untuk elak dihaidrasi. Malangnya, yang saya dengar, di FMFA tempoh hari tidak ada air disediakan pihak penganjur dan tempat konsert juga tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik," katanya.
Bahaya ecstasy
Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata pengambilan dadah seperti ecstacy yang tergolong dalam kumpulan ATS sememangnya boleh mengakibatkan dehidrasi melampau dan kerosakan organ dalaman seperti hati.
Dalam keadaan ekstrem iaitu apabila dadah itu diambil secara berlebihan atau mengandungi bahan berbahaya berlebihan, kesannya boleh menjurus kepada kematian.
Beliau juga menekankan bahaya pengambilan dadah jenis ATS secara berterusan. "Terdapat dua jenis ketagihan dadah iaitu ketagihan fizikal dan ketagihan psikologi. Ketagihan fizikal mengakibatkan penagih mengalami kesan fizikal seperti menggigil dan sakit dada, dan ini biasanya dikaitkan dengan pengambilan dadah jenis tradisional seperti heroin.
"Tetapi dadah ATS menyebabkan ketagihan psikologi, yang menimbulkan perasaan murung, lemah, tidak bermotivasi, sukar fokus dan gelisah kepada pengambilnya.
"Bagi ketagihan fizikal ada ubat yang boleh kurangkan gian, namun untuk ketagihan psikologi tiada ubat yang jelas untuk mengelakkan 'relapse' (ketagihan berulang). Apa yang diperlukan adalah strategi psikologi," jelas beliau.
Berdasarkan pengalaman merawat penagih, Dr Muhammad Muhsin berkata pada peringkat permulaan penagih dadah jenis ATS akan berada dalam fasa penafian iaitu mereka tidak mengaku mereka sebenarnya sedang menagih dadah.
Penagih akan mengambil dadah setiap kali berasa muram dan ada antara mereka yang bergantung kepada dadah untuk kekal fokus bekerja.
"Secara keseluruhannya ketagihan psikologi lebih berbahaya daripada ketagihan fizikal. Ia meracuni otak dan menyebabkan halusinasi. Halusinasi inilah yang menjadi punca kepada jenayah berat seperti pembunuhan. Keadaan boleh jadi lebih teruk jika penagih sudah menanggung masalah peribadi yang berat," jelas beliau.
Malah Dr Muhammad Muhsin mendedahkan ada antara pesakitnya yang masih mengalami halusinasi meskipun sudah lama berhenti mengambil dadah.
"Dadah jenis ATS ini sememangnya sangat toksik. Mengambilnya seolah-olah kita menyebabkan otak sendiri mendapat penyakit mental," katanya memberi amaran akan bahaya dadah kepada mereka yang berniat mahu mencuba dadah.
Nasihat untuk remaja
Dalam mencari penyelesaian kepada masalah dadah yang tidak berkesudahan ini, Dr Muhammad Muhsin berpendapat apa yang penting adalah penerapan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan remaja.
Beliau berkata tanpa kemahiran ini, remaja atau golongan 'dewasa muda' ini mudah terpengaruh untuk mencuba dadah bagi melupakan masalah mereka.
"Pada peringkat permulaan ia nampak seperti satu penyelesaian, tapi ia sebenarnya hanyalah penyelesaian jangka pendek. Kadang-kadang remaja juga mencuba dadah kerana 'peer pressure' (pengaruh rakan sebaya), nak diterima oleh kawan-kawan. Sebab itu mereka perlu diberi didikan awal.
"Selebihnya kepada saya ialah kawal selia. Pihak berkuasa seboleh-bolehnya jangan buka ruang untuk pengambilan dadah ini berleluasa," tegas beliau.
Bagi Nina pula, ibu bapa perlu mengajar anak tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang tersayang bagi mengelak kejadian buruk seperti pengambilan dadah berlebihan menimpa mereka.
Beliau turut meluahkan rasa bertuah kerana tidak pernah mengalami insiden seumpama itu. "Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan beri peluang untuk saya bertaubat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor