Pages

Sunday, April 6, 2014

199 INDIVIDU TERIMA DARJAH KEBESARAN PAHANG

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua, kiri) berkenan beramah-mesra dengan para penerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia-Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada (dari kiri) Pengarang Kosmo Datuk Baharom Mahusin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, Pengarang Utusan Malaysia Datuk Mohd Hassan Mohammed Noor dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar dekat Pekan, semalam - Foto Bernama



Pekan - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendahului senarai 199 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.

Beliau dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene antara empat penerima yang dikurniakan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyampaikan darjah kebesaran dan pingat kepada para penerima.

Sementara itu, 11 penerima dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya termasuk Pengarah Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Mohd Sobri Paridaluddin Ismail.

Turut menerima darjah kebesaran sama, Setiausaha Agung Asian FootballConfederation (AFC) Datuk Alexander Soosai G. Susiappan dan Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Datuk Mohamad Shariff Abu Samah.

Manakala seramai 103 penerima dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DIMP adalah Ketua Pengarah Imigresen, Aloyah Mamat; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Dr Hasrul Sani Mujtabar dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga kolumnis Fikrah dalam Cetusan Sinar Harian, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang, Moh Samsudin Yusof; Setiausaha Bahagian Khidmat Sokongan dan Pembangunan Industri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd A. Aruwan Ab Aziz dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, Abdul Wahab Mohamad Ali turut bergelar Datuk apabila dikurniakan darjah kebesaran DIMP.

Seorang penerima dikurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) manakala 18 orang dikurniakan darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP).

Lapan pengamal media di Pahang termasuk Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang, Aswany Omar antara 26 penerima darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).

Manakala lima penerima dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC).

Sementara itu, Penolong Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang, Nik Amirulmu’Min Nik Min bersama 10 yang lain termasuk lapan petugas media antara 11 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT).

Dalam istiadat sama, Tengku Abdullah turut berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 10 orang penerima.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor