Pages

Tuesday, March 25, 2014

TUKANG MASAK DIJEL DUA TAHUN




Kota Bharu - Seorang tukang masak dijel dua tahun atas tuduhan memecah masuk kediaman dan melarikan kenderaan milik seorang pemandu, di mahkamah majistret di sini semalam.

Mengikut pertuduhan, Mohd Farizan Hamzah, 30, mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit bersama dua rakannya di sebuah rumah di Jalan Sabak Pengkalan Chepa di sini bulan lalu, dengan melarikan dompet, kunci motokar, kunci van serta kenderaan jenis Perodua Viva warna putih.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memecah masuk rumah berkenaan bersama dua rakannya yang masih bebas tanpa kebenaran mangsa polis menemui kereta Perodua Viva yang dilarikan, diletakkan di rumah dua rakannya itu.

Dalam pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa raya Noor Dayana Mohamad, tertuduh meminta hukumannya diringankan memandangkan dia kini menghidap penyakit buah pinggang serta tidak mempunyai keluarga di negeri ini memandangkan adiknya berada di luar negara.

“Saya minta supaya hukuman saya diringankan memandangkan adik saya berada di Indonesia dan tiada keluarga yang boleh jamin saya,” katanya.

Walau bagaimanapun Majistret Nik Habri Muhammad tidak menerima alasan tertuduh memandangkan kesalahan terbabit bukan kesalahan pertamanya.

“Mengambil kira faktor keselamatan awam dan kerugian harta benda, dalam kes ini saya pilih kepentingan pengadu memandangkan dia mengalami kerugian harta benda. Semoga hukuman ini dapat dijadikan pengajaran,” kata Nik Habri.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor