Mukah - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kesal dengan tindakan beberapa pihak terutama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang apabila mempolitikkan isu tersebut.
Beliau berkata, tindakan Tian Chua mengeluarkan kenyataan dalam akaun Twitternya yang mempersoalkan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar mengenai pesawat MH370 ketika sesi Parlimen sedang berlangsung dan tidak membuat pengumuman itu di dalam Parlimen malam tadi, amat tidak bertanggungjawab.
Katanya, semua pihak harus lebih sensitif bukannya mengutamakan kepentingan politik memandangkan terdapat beratus keluarga yang terlibat dalam tragedi itu harus dijaga perasaan mereka.
"Yang kita kesal ialah ada sesetengah pihak betul-betul tidak bertanggungjawab. Mereka sepatutnya memberi sokongan yang padu terhadap kerajaan kerana bukan kerja yang mudah mahu mencari pesawat yang hilang ini.
"Bayangkan teknologi yang diperoleh dari Amerika Syarikat juga tidak berjaya menemui lokasi pesawat MH370 yang hilang itu walaupun sudah beberapa hari operasi mencari dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Bersarapan Pagi Bersama Masyarakat Setempat di Kampung Teh di sini hari ini.
Tian Chuan yang juga Naib Presiden PKR dalam akaun Twitternya malam tadi telah muat naik komen berbunyi, 'PM made statement on MH370 at 10pm while parliment was in session. Wonder why can't he follow Aust PM reporting dvpt in parliment?' (Perdana Menteri membuat kenyataan mengenai MH390 pada pukul 10 malam ketika sesi Parlimen berlangsung. Kenapa beliau tidak boleh mengikut Perdana Menteri Australia yang melaporkan perkembangan (MH370) di Parlimen?).
Komen itu dimuat naik oleh Tian Chua dalam akaun Twitternya sejurus selepas Najib mengumumkan pesawat MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth, Australia dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor