Pages

Saturday, March 22, 2014

SURI RUMAH BERSALIN DALAM KERETAPI




Kuala Krai - Seorang suri rumah yang dalam perjalanan pulang dari Kempas, Johor ke kampung halamannya di Kampung Kubang Puyoh, Lata Rek dekat sini, tidak menduga bayi keempatnya dilahirkan dalam keretapi Senandung Timur, Johor, Tumpat, kira-kira jam 11.05 minit pagi semalam.

Bayi perempuan seberat 3.1 kilogram itu lahir dengan bantuan petugas wanita yang sedang bertugas dalam keretapi ketika itu.

Che Mariam Shaari, 33, dijangkakan melahirkan bayinya pada 29 Mac ini mengikut jangkaan doktor di hospital kerajaan dan 4 April sewaktu membuat pemeriksaan di klinik swasta.

Menurutnya, dia hanya pulang ke kampung untuk bercuti bersama-sama tiga anaknya sempena cuti sekolah dan merancang kembali semula ke Johor sebaik habis cuti minggu hadapan sementara suaminya, Armayudin Husin, 37, seorang pemandu teksi tidak pulang bersama.

Che Mariam berkata, dia mula merasa sakit ketika keretapi melalui kawasan Bukit Abu sekitar jam 10 pagi dan memaklumkan keadaannya ketika itu kepada petugas keretapi .

Menurutnya, kesakitan yang semakin kuat memaksa dia memaklumkan kepada petugas keretapi sekali lagi kerana dia sudah tidak mampu menahan sakit dan dapat merasakan bayinya sudah hendak keluar ketika itu.

“Dengan bantuan petugas wanita, saya selamat melahirkan bayi perempuan dan kami berada dalam keadaan sihat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Kuala Krai, petang semalam.

Che Mariam berkata, sebaik tiba di Stesen Hospital Kuala Krai kira-kira dua minit selepas bayinya dilahirkan, petugas Hospital Kuala Krai segera naik ke keretapi memotong tali pusat anak perempuannya dan kemudiannya mereka dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Petugas keretapi cekap melaksanakan tugas ketika berdepan detik cemas dan terus menghubungi hospital supaya bersiap sedia di stesen keretapi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya,” katanya.

Katanya, ketika berada di hospital dia memaklumkan kepada suaminya mengenai kelahiran anak keempat mereka dalam keretapi, ternyata suaminya agak terkejut dengan berita itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi KTM Tumpat, Zaid Ibrahim berkata, kelahiran bayi perempuan pagi semalam dianggap memberikan tuah kepada pihaknya dan bersyukur bayi dan penumpang selamat.

Menurutnya, petugas diberikan latihan ketika berdepan kecemasan dan ternyata mereka berjaya membantu penumpang dalam kecemasan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor