Kuala Lumpur - Siasatan mengenai punca enjin pesawat Malindo Air ATR72-600 terbakar semasa dalam penerbangan dari Subang ke Kuala Terengganu pada Rabu, masih berjalan.
Ketua Pegawai Komunikasi Malindo Air Raja Sa'aadi Raja Amrin berkata semalam pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Menteri Pengangkutan DatukAbdul Aziz Kaprawi, wakil Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berhubung siasatan insiden melibatkan ATR72-600 itu.
"Bagaimanapun hasil siasatan insiden pesawat ATR72-600 akan mengambil masa berikutan fokus Kementerian Pengangkutan dan DCA kini tertumpu kepada menyelesaikan insiden pesawat MH370," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Raja Sa'aadi berkata kejadian enjin pesawat terbakar bukan perkara baharu dan sekiranya berlaku, juruterbang dan anak kapal akan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kepada semua syarikat penerbangan seluruh dunia dalam menangani kecemasan.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Subang pada hari kejadian Malindo Air telah mengambil tindakan sepatutnya dengan menerbangkan semula penumpang ke Kuala Terengganu dari Subang kira-kira sejam selepas pesawat terbabit mendarat.
"Jumlah penumpang pesawat ATR72-600 ialah 70 orang termasuk dua kanak-kanak, 60 penumpang termasuk kanak-kanak berkenaan memilih diterbangkan semula ke Kuala Terengganu menggunakan pesawat lain, manakala 10 penumpang dibayar wang tunai sebagai ganti tiket penerbangan mereka," katanya.
Juruterbang pesawat malang itu berpatah balik selepas sistem penggera kebakaran pesawat diaktifkan semasa pesawat itu terbang pada ketinggian 7,000 kaki dan berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Subang.
Foto enjin terbakar yang dimuat naik menerusi laman sosial oleh pemain tengah pasukan bola sepak Terengganu Faiz Subri pada pagi Rabu tersebar luas di ruang siber.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor