Seremban - Sebuah keluarga di Taman Permai Fasa 3, dekat sini hidup dalam ketakutan dan keresahan selepas diserang api misteri dan disusuli beberapa kejadian aneh sejak pertengahan Februari lalu.
Sinar Harian berkesempatan menyaksikan sendiri api misteri itu beberapa kali semasa melakukan tinjauan ke rumah dihuni mangsa, E Sivavartheni, 27, bersama empat ahli keluarga lain, kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Tidak sampai setengah jam di rumah berkenaan, Sinar Harian sudah dikejutkan apabila api misteri itu muncul tiba-tiba lalu menyambar lipatan selimut dalam bilik hadapan, menyebabkan semua yang ada di situ tergamam sebelum bertindak memadamkannya.
Belum sempat menyambung perbualan dengan Sivavartheni, sekali lagi seisi rumah dikejutkan dengan api misteri terbabit, di mana kali ini menjadi sasaran adalah kalendar di bahagian dapur dan bilik tengah secara berturut-turut.
Tidak cukup dengan itu, beberapa barang lain turut menjadi mangsa api misteri tersebut, namun kami terpaksa tabahkan hati dan cuba untuk tidak mengendahkannya bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada penghuni rumah.
Menurut Sivavartheni, masalah itu mula menghantui keluarganya sejak 22 Februari lalu dan terus berlarutan hingga ke hari ini, tanpa sebarang penyelesaian.
“Saya sendiri tertanya-tanya, mengapa kami sekeluarga ditimpa dugaan sebegini. Sedangkan, sejak menyewa rumah ini lima tahun lalu, tidak pernah sekalipun berlaku sebarang kejadian aneh,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut masalah dihadapi, Sivavartheni berkata, pada hari pertama kejadian, dia dan suaminya, R Vinod, 33, sedang menghadiri majlis pengebumian saudara terdekat mereka di Linggi.
“Semasa dalam perjalanan pulang kira-kira jam 1.30 petang, saya dikejutkan dengan panggilan ibu memberitahu kain pada ampaian terbakar secara tiba-tiba. Namun, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka cuaca yang terlalu panas jadi punca kebakaran.
“Setibanya di rumah, rasa takut mula timbul selepas kami melihat sendiri bagaimana meja makan dan langsir pintu utama terbakar tanpa sebarang sebab, disusuli dengan katil serta tilam di bilik tidur, lebih kurang 15 minit kemudian,” katanya yang memberitahu, kira-kira 20 hingga 26 kebakaran berlaku pada hari itu.
Sangkaan mereka masalah itu telah berakhir ternyata meleset. Keesokan lebih kurang jam 10 pagi, kejadian sama berulang lagi dan hanya berhenti kira-kira jam 7 petang, ketika Sivavartheni dan keluarga melakukan upacara sembahyang.
“Pemerhatian saya mendapati, api misteri itu bermula antara jam 10 hingga 11 pagi dan berhenti pada jam 10 malam, setiap hari. Tetapi, agak mengejutkan apabila kebakaran langsung tidak berlaku pada 26 Februari hingga 8 Mac lalu.
“Bagaimanapun, api itu kembali mengganas kira-kira jam 7.27 petang, kelmarin menyaksikan kebakaran berlaku sebanyak 15 kali,” katanya yang menjelaskan lebih 50 kebakaran terjadi sejak 22 Februari lalu.
Menurutnya lagi, pelbagai petua sudah digunakan, termasuk mendapatkan bantuan enam individu berkemahiran perkara mistik dalam kalangan pelbagai kaum dari Johor Baharu, Melaka dan Seremban, namun tidak membuahkan hasil.
“Saya risaukan keselamatan keluarga, lebih-lebih lagi ibu berusia 63 tahun yang sedang pulih daripada pembedahan. Dia trauma dan kerap sakit akibat tidak cukup tidur kerana bimbang api akan muncul pada bila-bila masa sahaja,” katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia 10 dan 4 tahun.
Katanya, akibat situasi berkenaan, mereka mengalami kerugian hampir RM10,000 dalam bentuk perkakasan rumah seperti ketuhar gelombang mikro, mesin basuh dan set sofa yang musnah terbakar.
“Namun, kami terharu kerana masih ada yang prihatin. Selain saudara mara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kini sedang menguruskan untuk wang ihsan turut menghulurkan bantuan awal kepada kami sebanyak RM300, set comforter dan beberapa barang keperluan harian,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, dugaan dihadapi keluarga malang terbabit tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya mereka turut berdepan masalah dengan kotak fius elektrik yang kerap terpadam sendiri tanpa sebarang sebab, sejak awal Januari lalu.
“Saya syak kejadian ini ada kaitan dengan kewujudan api misteri, memandangkan sudah beberapa kali bekalan elektrik terputus semasa kebakaran berlaku.
“Menguatkan lagi andaian saya apabila tiga juruteknik elektrik yang dipanggil untuk membuat pemeriksaan, tidak menjumpai apa-apa. Pihak berwajib juga sudah menukar kesemua pendawaian termasuk kotak fius tersebut, namun tiada perubahan,” katanya yang berharap orang ramai arif dalam hal ini dapat membantunya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor