Pages

Wednesday, March 19, 2014

PUTERI DESAK BATAL KONSERT




Kuala Lumpur - Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan membatalkan konsert Life In Color yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, 19 April ini.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, kejadian di sebuah konsert di ibu negara beberapa hari lalu yang mengorbankan enam nyawa anak muda dan 14 lagi dirawat di hospital kerana pengambilan dadah dan alkohol berlebihan sepatutnya dijadikan iktibar.

Beliau berkata, melihat nama penganjurannya sahaja sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku semasa konsert tersebut dan Puteri UMNO tidak mahu peristiwa di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini berulang.

"Semoga kita semua lebih sensitif. Banyak cara lain yang kita boleh lakukan untuk menjual nama Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, bukannya dengan cara ini sahaja," katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.

Sabtu lalu, enam penonton konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil maut dipercayai akibat pengambilan dadah sintetik berlebihan.

Konsert yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari itu bagaimanapun dibatalkan oleh pihak polis pada hari terakhir ekoran tragedi tersebut.

Manakala konsert Life In Color pula dikatakan parti cat terbesar di Malaysia yang akan menampilkan beberapa DJ terkenal dari serata dunia.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor