DUA pelajar sekolah melihat jenis dadah dalam bas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memberi pendidikan mengenai bahaya dadah pada Sambutan Hari Antidadah 2014 di Perkarangan Pejabat Pendidikan Hulu Langat, Persiaran Saujana Impian di sini, hari ini. FOTO Bernama
Kuala Lumpur - Pengurusan sekolah dan ibu bapa diingatkan supaya prihatin dengan perubahan tingkah laku pelajar dan anak-anak mereka kerana laporan menunjukkan kegiatan penyalahgunaan dadah di kalangan kanak-kanak seawal usia 10 tahun amat membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegiatan penyalahgunaan dadah kini mula menyusup masuk ke sekolah-sekolah dengan kanak-kanak sekolah kini sering dijadikan 'pusher' oleh pengedar dadah.
"Kita hendak tekankan kekhuatiran kita kerana pengedar (dadah) telah mula cari pasaran baru apabila kita laksanakan operasi cegah jenayah melalui penyalahgunaan dadah ini.
"Kita tidak dapat terima bila pengedar dadah secara runcit ini telah sasarkan kumpulan anak-anak sekolah rendah seawal 10 tahun," katanya pada sambutan Hari Antidadah 2014 di Pejabat Pendidikan Hulu Langat, Kajang dekat sini, semalam.
Beliau berkata, sehubungan itu pelbagai pihak termasuk pengurusan sekolah dan ibu bapa perlu melakukan sesuatu agar kegiatan ini dapat dibanteras lebih awal.
Ahmad Zahid berkata, pada 2010, hanya 173 klien remaja mendapatkan perkhidmatan di Klinik Cure & Care 1Malaysia namun jumlah itu meningkat kepada 863 orang pada 2011, dan pada 2012 kepada 1,180 orang dan (1,209) tahun lepas.
"Berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh klien remaja ini, hampir keseluruhan daripada mereka terlibat dengan dadah berpunca daripada pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba dengan rokok adalah bahan awal yang diambil oleh mereka sebelum terlibat dengan penagihan dadah, katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah menjelang 2015, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk peranan yang dimainkan ibu bapa.
Katanya, sejajar dengan prinsip tiada tolak ansur terhadap dadah, kerajaan melipatgandakan usaha membanterasnya agar tiada kaedah digunakan untuk menembusi pasaran baru.
Beliau berkata, selain program-program pemulihan dan kesedaran yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, penubuhan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman juga bukti kerajaan komited dalam membanteras kegiatan itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor