Bera - Kerajaan sedang merangka projek pembangunan berkonsepkan pertanian bersama Mardi bagi menaik taraf sosioekonomi dalam kalangan ibu tunggal di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, projek berbentuk aquaponik yang dilakukan dalam dua fungsi itu akan dilaksanakan secara berkelompok.
Menurutnya, selain membolehkan mereka menanam sayur-sayuran, mereka juga boleh membela ikan air tawar serentak.
“Kita masih di peringkat perbincangan mengenai perkara ini, namun ia dilihat mampu mengubah taraf sosioekonomi di kalangan ibu tunggal di negeri ini.
“Secara tidak langsung, kita membantu mereka untuk proaktif dalam komuniti dan mengajak mereka keluar dari masalah atau tekanan dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Tunggal (Mutiara) Daerah Bera Tahun 2014, dekat Padang Luas.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Datuk Mohd Fadil Osman dan Pengerusi Mutiara Daerah Bera, Manila Abd Latiff.
Dalam perkembangan lain, Shahaniza memberitahu, kerajaan turut memperuntukkan pelbagai bentuk bantuan lain kepada ibu tunggal terutama kepada mereka yang mendaftar status ke Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira 300 orang yang sudah berdaftar secara atas talian, sementara lebih 10,000 orang mendaftar dan menjadi ahli Mutiara di seluruh negeri Pahang.
“Berdasarkan statistik itu, majoriti mereka yang berumur sehingga 60 tahun sahaja yang mendaftar, manakala yang lebih berusia tidak mahu mendaftar kerana beranggapan ia tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.
“Kita mahu semua ibu tunggal ini mendaftar dan kalau boleh, wakil rakyat atau pertubuhan bukan kerajaan membantu untuk mendaftarkan mereka supaya mereka ini tidak ketinggalan menerima bentuk peruntukkan yang disediakan kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor