Melbourne, 22 Mac -- Keadaan cuaca yang baik dijangka membantu operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 di perairan Australia Barat yang bersambung pada Sabtu, lapor agensi berita Australian Associated Press.
Pesawat peninjau pada Jumaat, iaitu hari kedua operasi, gagal mengesan sebarang petunjuk di kawasan yang sebelum ini dilapor sebagai lokasi dua objek yang imejnya dicerap oleh satelit di Lautan Hindi.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia yang mengetuai operasi, berkata misi itu masih dianggap sebagai operasi mencari dan menyelamat sekalipun sudah dua minggu pesawat berkenaan hilang.
Dua pesawat komersial dan sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia menjadi pesawat pertama berlepas dari Perth ke zon pencarian pada pukul 6 pagi waktu Australia Barat.
Keadaan langit kini terang dan akan meningkatkan tahap penglihatan selain kelajuan angin berkurangan kepada bawah 10 knot, kata pengkaji cuaca di Biro Meteorologi Luke Huntington kepada Radio ABC.
Katanya biro itu juga tidak menjangkakan sebarang cuaca buruk hari ini.
Dua kapal dagang yang membantu misi pencarian sudah berada di kawasan itu manakala kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success dijangka tiba pada petang Sabtu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor