Pages

Monday, March 24, 2014

MH370: JURUTERBANG P3 ORION TEKAD BERI MAKLUMAT




Perth: “Kami komited dan yakin akan berjaya menemui sesuatu…satu penemuan…untuk keluarga penumpang di dalam pesawat MH370,” ulas juruterbangPeter Mooreyang mengemudi pesawat P3 Orion terakhir di RAAF Base Pearce di Perth malam tadi.

Pengakuan Moore itu diluahkan beliau walaupun tidak menemui apa-apa petunjuk dan menambah bahawa angin kencang dan awan tebal turut menghalang operasi pencarian pesawat MH370 pada Ahad di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer di luar pantai Perth, Australia.

Beliau yang dikerumuni ramai wartawan dari seluruh dunia selepas mendarat pada 10 malam tadi menerangkan apa yang telah dilakukan oleh pasukannya dalam tempoh sepuluh jam terakhir pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat di sana.

“Situasi di luar sana agak mencabar. Awan yang rendah pada jarak kira-kira 500 kaki sahaja, kabus laut yang tebal serta hujan,” jelas Moore.

Jarak penglihatan di kawasan itu juga terhad akibat cuaca buruk, terutamanya apabila pasukan mencari bergantung kepada penglihatan, bagi mencari objek di permukaan laut pastinya terjejas. Awan menyekat pandangan mereka walaupun terbang pada jarak yang rendah.

“Jarak penglihatan pada permukaanairjuga terhad. Ia berkemungkinan pada kira-kira 200 atau 300 kaki sahaja. Pada keadaan yang baik kita sebenarnya boleh melihat pada jarak yang jauh iaitu kira-kira sebatu,” katanya. “Walaubagaimanapun permukaan air agak tenang walaupun dengan hanya sedikit berombak.”



Namun, Moore dan pasukannya kekal positif dan bermotivasi tinggi kerana mereka sangat berpengalaman dan telah dilatih untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam apa jua keadaan termasuk yang mencabar seperti hari ini.

Berbekalkan sedikit bahan api tambahan, beliau dan pasukannya berjaya meneliti semula bahagian-bahagian kawasan carian yang terlepas sebelum ini berikutan keadaan cuaca yang bertambah buruk. Secara keseluruhannya, mereka berjaya meliputi kira-kira 85% kawasan pencarian pada hari tersebut.

Lapan pesawat berlepas dari Perth semalam, empat daripadanya merupakan pesawat P3 Orion yang berlepas dari RAAFBasePearce dan empat lagi merupakan pesawat awam bagi mencari di kawasan lebih 59,000 kilometer persegi.

Pesawat itu mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam untuk sampai ke kawasan pencarian dari Perth. Mereka hanya mempunyai masa dua jam sahaja untuk mencari sebelum perlu terbang empat jam lagi untuk kembali ke Perth.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor