Bera: Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Mohd Khairul Amri Selamat, Normah Jaafar, 56 tahun tetap menerima apa juga berita berhubung nasib anak keduanya itu namun tetap redha dengan apa sekalipun ketentuan Ilahi.
Walaupun beberapa kali pengsan takala terlihat gambar anaknya, beliau tetap menguatkan semangat bagi mendengar setiap berita yang disampaikan.
Beliau juga melahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia diatas segala usaha menangani peristiwa malang ini.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PM dan rakyat Malaysia telah bertungkus-lumus, berusaha untuk mendapatkan satu keputusan sebagaimana yang kita dengar sama-sama pada hari ini kan. Terima kasih banyak-banyak. Begitu juga kepada pihak MAS, mereka tak lepas-lepas bertanggung-jawap kepada kami waris-waris," kata ibu kandung salah seorang penumpang pesawat malang itu.
Rumah beliau di Taman Kerayong Makmur, Bera Temerloh Pahang, turut dikunjungi rakan dan jiran tetangga bagi memberi semangat kepadanya.
Pilu bercampur sedih jelas tergambar diwajah Normah setiap kali mendengar berita berhubung kehilangan MH370.
"Kalau kata tak sedih tu bohong lahkan. Saya memang bersedih dan dalam pada itu saya redha. saya mohon pada Allah SWT supaya dia memberi kekuatan kepada saya untuk terus menangani ujian ini. Apa pun saya redha dan saya memang berserah kepada Allah swt dan saya berterima kasih kerana saya Allah pilih saya, saya redha." tambah Normah lagi.
Pada pagi semalam, sekumpulan ahli UMNO Bera turut datang kerumahnya dan memberi semangat disamping turut juga mengadakan bacaan yasin dan doa tahlil.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor