Pages

Monday, March 24, 2014

KUANTAN: BERDEPAN BAHAYA SETIAP HARI

Keadaan jalan yang semakin sempit akibat tebing sungai yang terhakis teruk


Kuantan - Keadaan jalan masuk ke Kampung Tebing Tinggi, Hulu Balok, di sini, di dakwa amat berbahaya kepada pengguna memandangkan hakisan tebing sungai yang berlaku semakin teruk sehingga membuatkan laluan menjadi semakin sempit.

Penduduk, Rohayu sulung, 38 berkata, jalan berkenaan menjadi laluan utama kepada kira-kira 15 keluarga yang menetap di kampung itu.

Menurutnya, jika tidak bertar ia tidak menjadi masalah kepada pengguna tetapi keadaan hakisan yang semakin teruk amat membimbangkan.

“Hakisan semakin teruk sejak kejadian banjir besar baru-baru ini dan semakin lama keadaan bertambah teruk.

“Penduduk tiada jalan lain kerana ini adalah satu-satunya jalan alternatif atau laluan yang ada untuk digunakan setiap hari.

“Kami guna setiap hari untuk menyelesaikan urusan harian termasuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke pasar dan pelbagai lagi.

“Risikonya amat tinggi kepada kami semua tetapi sudah tiada pilihan lain dan walaupun berdepan bahaya kami tetap menggunakan laluan itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Rozi Sulung, 43 berkata, masalah berkenaan sudah dalam pengetahuan pihak berwajib dab sudah beberapa kali lokasi itu ditinjau.

“Difahamkan pihak berwajib tidak boleh membaik pulih atau naik taraf jalan berkenaan kerana ia berada di atas tanah persendirian.

“Memang sejak dahulu lagi jalan ini tidak bertar tetapi dengan hakisan yang berlaku ia amat merisaukan dan kami berharap ia segera dibaiki serta ditambak.

“Kami juga dimaklumkan akan diwujudkan satu laluan baru untuk urusan kami keluar masuk tetapi bila ia akan dibina tidak diketahui.

“Oleh itu, sementara menunggu laluan lain dibina diharapkan hakisan yang berlaku diatasi demi keselamatan orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor