Pages

Monday, March 31, 2014

KUALA LIPIS: BAYI DERITA HIDAP JANTUNG BERLUBANG




Kuala Lipis - Hati ibu mana yang tidak dirundung sedih apabila melihat anak yang dilahirkan beberapa hari sudah disahkan oleh doktor mengalami komplikasi akibat jantung berlubang.

Begitulah yang dialami seorang ibu muda, Nurul Asniralisa Asri, 25, yang tidak dapat menahan sedih apabila memikirkan nasib anak sulungnya, Wan A’wa Qyreena Wan Azlan, 44 hari.

“Saya terdiam apabila diberitahu oleh doktor pakar di Hospital Lipis setelah menjalani diagnosis, Wan A’wa Qyreena Wan Azlan disahkan mengalami jantung berlubang.

“Malah, beban tidak tertanggung lagi apabila dirujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur memaklumkan pembedahan yang bakal dilaksanakan pada 28 April nanti atau lebih awal dari tarikh itu memakan kos perbelanjaan sebanyak RM45,000,” katanya di wad Kanak-kanak, Hospital Lipis, di sini semalam.

Menurut Nurul, pada minggu kedua selepas Wan A’wa Qyreena dilahirkan pada 13 Februari lalu, dia membawa anaknya ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan penyakit kuning.

“Tetapi, setelah diperiksa pegawai perubatan mendapati anak saya alami komplikasi di bahagian pernafasan dan terus dirujuk kepada pakar sehinggalah disahkan alami jantung berlubang.

“Hati saya luluh apabila mendapat tahu perkara itu dan hanya mampu berdoa agar terus sabar menghadapi dugaan seterusnya khususnya memperoleh rawatan anak saya di IJN,” katanya.

Nurul berkata, mereka tidak mampu menyediakan perbelanjaan sebanyak RM45,000 memandangkan suaminya, Wan Mohd Azlan Shah Wan Yahaya, 27, tidak mempunyai pekerjaan tetap, manakala dia sendiri sudah berhenti kerja sebagai pembantu jualan selepas berkahwin.

Dia yang sebelum ini tinggal di rumah ibunya, Rohani Mohd Liki, 50, di Flat UnitKeselamatan Kawasan (UKK) Sungai Kerpan, di sini dalam tempoh berpantang dan kini bersama-sama anaknya di tempatkan di Wad Kanak-kanak (Paediatric) Hospital Lipis untuk pemantauan perubatan sebelum menjalani pembedahan.

“Saya tidak tahu sampai bila memperoleh bantuan untuk anak menjalani pembedahan dan sambil berharap ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup membantu Wan A’wa Qyreena menjalan pembedahan segera.

“Wang yang ada tidak mencukupi hanya sekadar untuk pengurusan kebajikan anak ini semasa tempoh tinggal di wad jika pembedahan dilaksanakan segera di IJN nanti,” katanya.

Sementara itu, Rohani melahirkan rasa kasihan dan sedih melihat cucunya, Wan A’wa Qyreena semakin susut badannya dan hanya mampu menangis ketika di pangku ibunya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan Wan A’wa Qyreena Wan Mohd Azlan bolehlah menyumbang menerusi akaun Maybank Nurul Asniralisa Asri bernombor 156114267293 atau hubungi talian 017-9148238 (Nurul Asniralisa) dan 014-2160852 (Rohani).

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor