Kuantan, 5 Mac - Crew PahangKu telah berkesempatan menemui YAB DSDR Menteri Besar sebaik saja selesai Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Yayasan Pahang bagi merakamkan kenyataan beliau berkenaan beberapa isu semasa.
Mengenai wabak denggi katanya keadaan di negeri Pahang tidaklah terlalu buruk berbanding dengan negeri-negeri lain dan berada ditangga ke-11. Bagaimanapun beliau menyatakan Jabatan Kesihatan tetap memandang serius kerana bagi tahun 2014 terdapat 219 kes berbanding 113 kes pada tahun 2013 - peningkatan 63.8 %. Manakala wabak denggi pula dicatat pada tahun 2014 terdapat 12 wabak wabak yang direkodkan berbanding 4 wabak pada tahun 2013.
Dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, kertas khas telah dibentangkan dan diberi taklimat mengenai demam denggi. Demikian seriusnya kerajaan memberikan perhatian terhadap isu wabak denggi ini.
Nyamuk aedes yang dikenalpasti sebagai pembawa virus denggi ini sangat berbahaya bukan saja sebagai nyamuk dewasa bahkan sejak dari keadaan telur dan larva lagi.
Kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM250 ribu bagi menghadapi masalah denggi dengan mengadakan program gotong-royong perdana diperingkat daerah bagi meningkatkan kesedaran tentang bahayanya denggi kepada masyarakat.
Kempen dan seminar serta pameran dan makluman melalui banner, banting, papan-tanda akan diperbanyakkan. Selain itu kerajaan akan menguatkuasakan Akta Pemunahan Serangga Pembawa Penyakit tahun 1995 pindaan 2000.
Walau bagaimanapun, segala program dan perancangan yang kerajaan laksanakan hanya akan memberi kesan dan mendapat kejayaan sekiranya semua pihak termasuk rakyat sendiri memberikan reaksi yang positif.
YAB Menteri Besar mengingatkan semua pihak bahawa wabak ini mengancam dan sangat merbahaya serta boleh meragut nyawa. Justeru rakyat sepatutnya dapat memberikan kerjasama terutama dalam penjagaan kebersihan kawasan persekitaran dan mengubah sikap dan amalan hidup seharian yang pentingkan kebersihan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor