Pages

Monday, March 31, 2014

IBU EMPAT ANAK TERSELAMAT TALI GANTUNG




Alor Setar - "Hanya ALLAH yang tahu betapa bersyukur saya terselamat dari dihukum gantung," kata Rohanee Subakoye, 38, selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam melepas dan membebaskannya daripada sabitan dengan kesalahan mengedar dadah, tahun lalu.

Rohanee sendiri pada awal tidak percaya akan menerima khabar gembira itu namun menganggapnya sebagai hadiah paling bermakna kerana masih berpeluang membesarkan empat anak setelah sekian lama dijaga oleh suami serta ibu di kampung.

Dia yang bekerja sebagai penoreh getah berasal dari Satun, Thailand berazam untuk memulakan hidup baru dengan bekerja bersungguh-sungguh demi masa depan anak-anaknya berusia dalam lingkungan dua hingga 17 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah yang boleh mensabitkan tertuduh terhadap kes berkenaan.

Wanita itu sebelum ini didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 407.5 gram di pos masuk Imigresen Wang Kelian, Padang Besar Perlis, lebih kurang 2 petang, 28 Januari 2013.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Keterangan SP3 tidak dapat membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah yang dijumpai dalam beg kepunyaannya. Tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada disabitkan dengan kes ini," katanya.

Rohanee yang memakai kemeja T ungu dan tudung hitam sempat mengesat air mata kegembiraan mendengar keputusan hakim.

Selepas selesai keputusan dibacakan, dia segera meluru ke arah seorang lagi tertuduh wanita di tempat duduk awam dilihat saling berpelukan keceriaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kastam Mohd Khairuddin Idris manakala Rohanee diwakili tiga peguam iaitu Nor Farishah Mohammad Bahar, Rabiatul Adawiah Ramli dan Fatin Hayati Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor