Pages

Sunday, March 30, 2014

HARI KELUARGA BERTUKAR TRAGEDI




Bachok - Dua remaja dipercayai lemas ketika mandi di pantai berdekatan Kampung Sungai Gali sempena Hari Keluarga Komuniti 1 Malaysia Kampung Belukar, dekat sini, semalam.

Muhammad Ariffin, 18, dan Muhammad Lutfi Iberahim, 14, gagal diselamatkan ekoran dihanyutkan ombak besar di pesisir pantai tersebut.

Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Belukar, Omar Daud berkata, rombongan kampungnya melibatkan lebih 200 penduduk.

Menurutnya, rombongan itu tiba di pantai berkenaan sejak jam 10 pagi, dengan menaiki tiga bas dan 20 kereta.

“Rombongan bas tiba terlebih dahulu. Apabila saya sampai, saya lihat budak-budak dah mandi.

“Tak lama kemudian, saya dengar ada orang minta tolong sebab ada yang lemas. Muhammad datang seorang diri sahaja dan Muhammad Lutfi datang bersama abangnya” katanya kepada pemberita, dekat sini, semalam.

Omar berkata, kejadian itu melibatkan enam remaja namun empat daripadanya sempat diselamatkan, sementara dua lagi dihanyutkan ombak besar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, gerakan mencari dan menyelamat dibantu oleh pasukan bomba dan penyelamat termasuk unit skuba seramai 20 orang, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (10 orang)
dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (10 orang).

“Kami terima panggilan pada jam 11.30 pagi. Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan sejurus kemudian.

“Mangsa pertama yang ditemui ialah Muhammad pada jam 12.15 tengah hari dan gerakan mencari Muhammad Lutfi diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mandi di pantai dan elakkan mandi ketika musim laut bergelora.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor