Pages

Monday, March 24, 2014

GERAI SEWAAN 4 PENIAGA DITARIK



Tapah - Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang akan bertindak tegas terhadap peniaga yang dikesan menyewakan gerai mereka kepada warga asing.

Pegawai Daerah dan Tanah Batang Padang, Razali Bakar berkata, setakat ini, empat peniaga sudah dikenakan tindakan tegas berikutan menyewakan gerai milik pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang kepada rakyat asing.

Menurutnya, susulan tindakan itu, peniaga terbabit tidak lagi diberikan gerai sewaan Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.

“Tindakan ini sebagai pengajaran kepada peniaga premis makanan supaya tidak mengambil kesempatan mengambil keuntungan atas angin dengan menyewakan gerai kepada rakyat asing.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini dan saya telah mengarahkan semua anggota penguat kuasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang dikenal pasti," katanya.

Razali berkata, tindakan tegas yang dijalankan ini sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap peniaga makanan tempatan yang menyewakan gerai kepada rakyat asing.

Dalam pada itu, menurutnya, langkah penyediaan gerai sewaan kepada peniaga tempatan bertujuan membantu mereka dalam kegiatan ekonomi dan bukannya mengambil kesempatan mencari wang mudah.

“Saya meminta kepada peniaga tempatan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang bagi mengelak mereka daripada dikenakan tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor