Pages

Tuesday, March 18, 2014

FESTIVAL MUZIK KUANTAN SELAMAT



Pekan - Kerajaan negeri memberikan jaminan Festival Muzik Kuantan yang akan diadakan bulan hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 akan berjalan lancar dan selamat tanpa wujudnya sebarang unsur negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, muzik yang akan diperdengarkan pada festival itu nanti adalah berentak jazz dan selaras dengan TMM kali ini.

"Kita berikan jaminan festival muzik itu nanti akan selamat dan tidak akan berlaku kejadian seperti mana berlaku di konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

"Kita simpati dan kesal dengan apa yang berlaku di Future Music Asia 2014 itu dan kita akan pastikan festival muzik yang akan anjurkan nanti tidak berlaku seperti kejadian seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kolokium Islam Pahang: Meraikan Ilmu yang akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Muzium Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Muzium negeri, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan enam penonton konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 maut akibat pengambilan dadah berlebihan.

Susulan kejadian itu, polis membatalkan hari ketiga iaitu kemuncak konsert tersebut yang dijadualkan berlangsung di lokasi sama, Ahad lalu.

Mohd. Sharkar berkata, beliau berharap pihak berkuasa yang meluluskan lesen penganjuran sesuatu konsert atau festival muzik membuat pemantauan pada setiap masa bagi memastikan program yang diadakan bebas daripada unsur negatif.

"Pemantauan ini termasuk memantau penonton yang hadir bagi memastikan mereka tidak melakukan perbuatan tidak sepatutnya seperti mengambil dadah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor