Pages

Tuesday, March 11, 2014

DUA PENUMPANG GUNA PASPORT CURI TIDAK PUNYA PARAS RUPA ASIA




Sepang -- Ketua- Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman hari ini mengesahkan bahawa kedua-dua penumpang lelaki yang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 menggunakan pasport curi, tidak memiliki paras rupa Asia.

"Kami telah berulang-ulang melihat semua gambar video, mereka tidak menyerupai lelaki Asia," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan yang masih bersesak menghadiri sidang akhbar - taklimat terakhir dari pihak berkuasa Malaysia untuk hari semalam.

Azharuddin enggan menjawab pertanyaan sama ada lelaki itu mempunyai paras rupa Afrika, tetapi menyatakan hal itu masih disiasat oleh pakar-pakar keselamatan.

Beliau menegaskan selepas meneliti gambar-gambar video (CCTV) dari kawasan berlepas, semua protokol keselamatan telah dipatuhi.

"Ada kemungkinan wujud sindiket pasport curi," kata beliau.

Azharuddin berkata radius operasi mencari Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines itu diperluaskan dari 50 batu nautika kepada 100 batu nautika dalam kawasan laut Igari hingga ke Sumatra Utara di kawasan darat.

Beliau berkata operasi itu yang masih dipanggil operasi mencari dan menyelamat selepas masuk hari ketiga, dijalankan "dari blok ke blok".

"Kapal dan pesawat ditugaskan meliputi setiap blok. Seterusnya kita akan perluaskan lagi (kawasan liputan)," kata beliau.

Terdapat dua kawasan carian utama. Satu di pantai timur Semenanjung Malaysia, satu lagi di Selat Melaka.

Sidang akhbar seterusnya diadakan hari ini jam 10 pagi.

Penerbangan MAS MH370, yang membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi, dan 12 kru hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi hari Sabtu.

Mengikut jadual ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

#PRAY4MH370

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor