Kuala Pilah – "Kami dikejutkan dengan dentuman kuat sebelum mendapati dinding depan kedai runtuh," luah pemilik kedai permainan elektronik, Ng Chon Cheah, 55, apabila kedainya dirempuh sebuah lori dalam kejadian kira-kira jam 2.20 awal pagi semalam.
Dalam kejadian itu, dua kedai rosak apabila sebuah lori tiga tan dipandu Masyira Ismail, 36, bersama isterinya, Eryanti Zainal, 35, yang membawa muatan makanan sejuk beku melanggar sebuah bas ekspres yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Akibat rempuhan itu, lori tersebut kemudian terbabas lalu melanggar dua kedai dua tingkat di bahagian kiri menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kedai terbabit runtuh serta-merta.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Batu Kikir menghala ke rumahnya di Kampung Ulu Bendul, sementara bas ekspres berkenaan dari arah Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur.
Chon Cheah, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri serta tiga anaknya sedang tidur di bilik tingkat atas sebelah belakang.
“Kami sekeluarga dikejutkan dengan satu bunyi dentuman serta gegaran kuat. Apabila saya keluar dari bilik tidur, saya dapati dinding hadapan kedai saya runtuh.
“Saya bingung kerana tidak tahu kejadian sebenar sehingga dimaklumkan oleh orang ramai sebelum mengarahkan kesemua ahli keluarga ke jalan raya kerana bimbang sesuatu akan terjadi,” katanya.
Sementara itu, pemilik sebuah lagi premis yang menjual barangan Cosway tiada di dalam premis waktu kejadian.
Dalam pada itu, sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah terdiri dari sebuah jentera dan enam anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.
Menurut Pegawai Operasi Bomba, Mazlan Jantan, pihaknya mengambil masa lima minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa berikutan keadaan lori yang remuk di bahagian depan akibat melanggar tembok kedai.
“Kami terpaksa memotong pintu dan stereng lori terbabit untuk mengeluarkan pemandu dan isterinya. Bagaimanapun mereka hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) oleh ambulans untuk menerima
rawatan, manakala pemandu dan penumpang bas serta penghuni kedai tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kecuaian pemandu terbabit boleh memudaratkan orang lain hingga kepada kemalangan maut.
“Kes ini disiasat Akta 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor