Pages

Friday, March 28, 2014

DERITA ISTERI SEORANG VIP




Ayer Keroh - Menjadi isteri orang kenamaan atau VIP tidak menjanjikan kebahagiaan. Itu dihadapi seorang wanita di sini apabila kini berdepan trauma selepas didera secara mental oleh lelaki yang dikahwini sejak 14 tahun lalu.

Malah, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 37, turut memberitahu, dia sering dimaki hamun oleh suaminya yang berstatus Datuk berusia 63 tahun itu.

Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan hampir 10 tahun dan merasakan hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman, sekali gus menuntut agar suami menceraikannya secara baik menerusi proses mahkamah.

Lisa berkata, suaminya sering melontarkan kata-kata kesat terhadapnya serta sanggup mengatakan dirinya sebagai 'perempuan sial', 'bodoh' dan pernah mengugut untuk menghantarnya ke hospital mental gara-gara dirinya cuba membunuh diri.

“Saya tidak tahan lagi dan pernah suatu hari dia menggunting rambut saya secara paksa hanya kerana marah saya berkawan dengan orang luar kerana kebetulan saya memang aktif berpuisi di radio.

“Dia juga turut menyekat saya untuk berhubung dengan keluarga termasuk ibu bapa saya sendiri, malah pernah menghalau saya dari rumah.

"Paling tidak tahan, dia pernah mencabul pembantu rumah saya,” katanya yang mengadukan masalah itu di Pejabat Pembela BN Melaka, dekat sini, semalam.

Lisa berkata, hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima anak berusia dari 14 hingga tujuh tahun.

“Saya kesal berkahwin dengannya sebab dia tidak meletakkan kedudukan seorang isteri di tempat yang betul dan sekarang saya serta anak-anak sudah enam bulan tidak tinggal bersamanya.

“Setakat ini sudah 29 kali saya menuntut cerai dengannya dan masuk kali ini barulah saya memfailkan tuntutan fasakh,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Guaman Pembela BN, Mohd Adly Ithnin berkata, di dalam kes terbabit, masing-masing tidak lagi boleh meneruskan perkahwinan dan membuatkan penangguhan tuntutan berkaitan seperti tuntutan harta serta nafkah anak-anak.

“Kes ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya si suami bersetuju perkara berkaitan harta diselesaikan dengan mahkamah yang lain, bukannya di dalam bab fasakh.

“Isu menjadi rumit sebab pihak suami cuba memasukkan semua perkara ke dalam satu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor