Pages

Monday, March 31, 2014

BUNUH DAN ROGOL: RAMBO BENTONG DIPERINTAH BELA DIRI



Temerloh 31 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini dihukum penjara 115 tahun bagi lima sabitan merogol dan seks luar tabii, membela diri terhadap pertuduhan membunuh dan merogol seorang remaja perempuan lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Rabidin Satir yang juga dikenali sebagai Rambo Bentong.

Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa merogol mangsa ehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Rabidin memberitahu mahkamah dia akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh sebagai kaedah bagi membela diri, selepas berbincang dengan peguam belanya, Richard Bong Chong Fook.

Abdul Karim kemudiannya menetapkan 2 April ini sebagai tarikh mendengar keterangan bersumbah Rabidin.

Terdahulu, semasa penyampaikan penghakimannya, Abdul Karim berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati punca kematian mangsa adalah kelaran di lehernya.

Menurut beliau, kesan air mani terdapat pada kemaluan mangsa dan kesan yang sama turut didapati pada pakaian mangsa yang diserahkan oleh keluarga mangsa kepada pegawai penyiasat.

"Kesan air mani pada mangsa jelas bahawa pada hari kejadian, tertuduh adalah orang yang terakhir dengan mangsa.

"Tiada keterangan menunjukkan bahawa ada orang lain pada masa kejadian. Saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu prima facie bagi dua tuduhan itu," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor